KIEV - Seorang ibu kepada tiga anak di Ukraine nekad membeli raifal automatik, Zbroyar Z-15, topi keledar, kostum penyamaran dan peralatan ketenteraan lain sebagai usaha untuk melindungi diri dan ahli keluarganya terhadap sebarang pencerobohan oleh Rusia.
Penyelidik pemasaran, Mariana Zhaglo, 52, yang menetap di Kiev berkata, dia sanggup membelanjakan AS$1,300 (RM5,450) untuk senjata yang biasanya digunakan bagi aktiviti memburu haiwan selepas terdengar perbualan antara anggota tentera tentang raifal terbaik yang boleh diperolehnya.
"Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk mempertahankan negara ini. Sebagai ibu, saya juga tidak mahu anak-anak saya terjerumus dalam konflik ini.
"Oleh itu, lebih baik bersiap sedia daripada awal. Kami akan berjuang secara habis-habisan jika serangan itu dilancarkan kerana Kiev adalah sasaran utama mereka," tegasnya.
Difahamkan, anggota tentera simpanan Pasukan Pertahanan Wilayah Ukraine (TDF) itu turut menyertai kursus latihan penembak tepat selama dua minggu.
"Selain senjata, saya juga menyimpan bekalan keperluan dan makanan termasuk sejumlah besar peluru," ujarnya.
Kebimbangan semakin meningkat selepas Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace mendakwa maklumat risikan mendapati unit elit Rusia mungkin telah menyeberangi sempadan dan menyusup masuk ke Ukraine.
"Sebarang tindakan merentasi sempadan ke Kiev dalam skala besar atau kecil tetap dianggap sebagai satu bentuk pelanggaran kedaulatan dan pencerobohan," kata Wallace.
Sehingga kini, Rusia menafikan dakwaan ia merancang untuk melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine dan menuding jari menyalahkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Barat kerana mengeruhkan lagi krisis di rantau berkenaan. - Agensi