Mohd Faisal harap cepat sesuaikan diri dengan Kelantan FC

Iklan
Mohd Faisal (depan), pada aksi pra musim bersama KUFC - Foto KUFC

PEMAIN baharu Kelantan United FC (KUFC) Mohd Faisal Mohd Rosli berharap agar dirinya dapat segera menyesuaikan diri beraksi dengan pasukan baharu itu bagi mengharungi saingan Liga Premier 2022.

Menurut pemain berusia 32 tahun itu yang juga dikenali dengan panggilan ‘tocang’ dalam kalangan rakan-rakannya, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran daripada The Green Deers itu berikutan ia adalah tawaran pertama yang diterimanya ketika menanti tawaran daripada kelab-kelab lain.

Iklan
Iklan

Malah Mohd Faisal tidak berdepan masalah beraksi dalam saingan Liga Premier dan berazam untuk memberikan aksi terbaik bagi menjamin kejayaan pasukan kelak.

"Ketika saya menanti tawaran daripada pasukan lain, pihak pengurusan KUFC muncul kelab pertama yang menghubungi saya dan menyatakan mereka amat memerlukan pemain pertahanan kiri.

Iklan

"Oleh itu, tanpa berfikir panjang, saya terus sahaja menerima tawaran yang diberikan KUFC itu dan menganggapnya sebagai satu cabaran baharu buat saya kerana banyak perkara saya kena sesuaikan setelah lama berada di Kuantan.

"Saya juga akui sudah tentu banyak perbezaannya kerana selama ini di Sri Pahang FC kebanyakan rakan sepasukan adalah kawan-kawan saya juga tetapi kali ini di KUFC semuanya saya baru hendak kenal; namun setakat ini, saya tidak berdepan masalah setelah menjalani latihan dengan Syamsul Saad dan boleh dikatakan saya gembira dengan corak latihan yang disediakan,” katanya.

Iklan

Untuk rekod, keputusan Mohd Faisal untuk beraksi dengan KUFC musim ini menjadikan dirinya sebagai pemain terakhir daripada skuad Tok Gajah itu yang muncul juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 lalu.

Bagaimanapun, musim 2021 lalu menyaksikan Mohd Faisal terpaksa bersaing dengan Fazly Mazlan di posisi pertahanan kiri selain pernah beraksi selaku pemain tengah di bawah kendalian ketua jurulatih, Dollah Salleh.

Sementara itu, Faisal menegaskan akan cuba sedaya upaya membantu Kelantan United melakar kejayaan musim ini.

Katanya, walaupun sebahagian besar pemain KUFC musim ini melibatkan pemain-pemain muda, namun kelibat pemain berpengalaman seperti Syahrul Azwari bersama KUFC dilihat akan memberikan sedikit kelebihan buat pasukan.

"Bagi saya KUFC ini merupakan kelab yang agak menarik kerana ada lebih 90 peratus pemain berasal dari Kelantan. Ramai pemain muda dan ‘low profile’ namun diharapkan menyerlah apabila saingan Liga-M khususnya Liga Premier bermula nanti,” katanya.