SHAH ALAM - Barangan keperluan ibadat seperti rehal, al-Quran dan sejadah menjadi tarikan pengunjung sejak hari pertama Jualan Gudang Karangkraf 2022 dibuka pada 21 Januari lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati barangan tersebut merupakan antara produk yang paling laris dijual.
Penolong Pengurus Besar Jualan Kumpulan Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, ada antara barangan itu seperti rehal sudah kehabisan stok dan al-Quran pula perlu sentiasa ditambah kerana permintaan yang tinggi.
"Sebagai contoh Rehal Kayu Islamik ini rehal baharu yang dijual di sini dan hari ini (Rabu) sudah kehabisan stok. Memang permintaan tinggi dan stok baharu akan tiba pada Khamis.
"Rehal ini merupakan jualan kali pertama tahun ini dan tidak disangka ia mendapat sambutan yang baik.
"Selain itu, al-Quran jenis Mushaf al-Imam, al-Andalus paling laris dan perlu ditambah stoknya pada setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, seorang pengunjung, Halimah Mustapa, 71, sanggup datang daripada Nilai, Negeri Sembilan untuk membeli al-Quran di jualan gudang ini.
"Kami satu kumpulan mengaji. Kami bertiga bertolak dari Nilai jam 9 pagi. Kami dapat tahu berkenaan jualan al-Quran ini pun daripada Facebook dan radio, memandangkan punya kelapangan, kami pun ke sini.
"Keutamaan kami untuk membeli al-Quran yang lebih besar supaya senang bertadarus bersama-sama kumpulan mengaji," katanya.
Halimah berkata, buku-buku yang dijual di jualan gudang ini dapat membantu meluaskan pembacaan dan pengetahuan.
Bagi Hazimah Ramli, 62, harga al-Quran dan kitab ilmiah yang dijual di jualan gudang lebih murah berbanding di luar.
Katanya, ia lebih berbaloi untuk membeli dengan kuantiti yang lebih banyak.
"Saya dengar dalam Facebook dan ada juga buat carian di Google dan mendapati memang harga di sini lebih murah.
"Ada juga dibuat jualan penghabisan stok, ditambah pula dengan diskaun. Sekiranya menjadi ahli lagi murah harganya, justeru, sangat berbaloi untuk orang ramai membeli di sini,” jelasnya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Zaki Muhammad, 67, berkata, pengalaman menerima al-Quran percuma di Jeddah sebelum ini menarik minatnya untuk bersedekah kitab suci tersebut.
Tambah Mohd Zaki, dia merebut peluang harga murah untuk membeli al-Quran dan rehal serta sejadah untuk disedekahkan.
"Saya datang dari Batu Caves untuk mencari Pakej al-Quran al-Imam yang merangkumi al-Quran dan al-Quran stand.
"Ini kerana saya solat di rumah saya baca satu rakaat, satu muka surat jadi saya perlukan al-Quran stand itu,” katanya.
Menurut Rahimah Kidam, 63, Jualan Gudang Karangkraf seperti ‘one-stop centre’ yang memudahkan mereka untuk mencari barangan untuk beribadat di satu tempat sahaja.
"Barang yang saya nak seperti al-Quran, rehal dan sejadah boleh dibeli terus di sini, semua satu tempat tidak perlu keluar ke kedai lain. Buku-buku yang saya mahu memang saya akan beli terus di sini.
"Ini sangat memudahkan, malah saya juga membeli nota My#Qurantime bagi melengkapkan koleksi saya sekeluarga, sebelum ini dah ada tujuh, hari ini beli sampai 10,” ujarnya.
Jualan Gudang Karangkraf 2022 berlangsung selama 10 hari bermula 21 hingga 30 Januari ini.
Waktu operasi bermula pada jam 9 pagi hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad pula dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam.