SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan logonya sendiri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sementara, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP kekal menggunakan logo Pakatan Harapan (PH).
Menurut kenyataan akhbar Majlis Presiden PH, keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan Mesyuarat Khas pada Rabu bagi membincangkan khusus mengenai persediaan menghadapi PRN Johor.
"Sungguhpun ada pandangan berbeza berkaitan dengan permintaan PKR mengenai penggunaan logo, Mesyuarat Majlis Presiden PH bersetuju untuk menghormati hasrat tersebut.
"Logo PH akan digunakan dan PKR pula akan menggunakan logo sendiri untuk PRN Johor,” menurut kenyataan tersebut pada Rabu.
Mengulas lanjut, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon PH diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Majlis Presiden PH turut mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
"Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihanraya Negeri Johor yang akan datang,” ujarnya.
Pada Isnin, PH mengumumkan membuat keputusan untuk bertanding dalam PRN Johor yang akan diadakan nanti.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, menurut laporan portal MalaysiaKini, Anwar Ibrahim turut menolak cadangan agar gabungan itu kembali bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Anwar mengulangi janji PH untuk menyatukan semua parti pembangkang termasuk dari luar gabungannya tetapi menegaskan Bersatu tidak menepati kriteria.
Pada Selasa, Timbalan Ketua Bersatu Johor Bahru Razrul Anwar Rusli membangkitkan cadangan agar partinya kembali bekerjasama dengan PH, bagi melawan UMNO dalam PRN Johor.