KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar telah mengadakan lawatan kerja ke Jordan dan Azerbaijan masing-masing pada 15-19 Januari dan 21-23 Januari bagi mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan.
Semasa lawatannya ke Jordan, Kamarudin telah mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatan dari negara itu, Yousef Bataineh dan antara perkara penting yang dibincangkan termasuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, kesihatan, pendidikan, hubungan rakyat dengan rakyat dan pelancongan.
"Kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan mengenai isu-isu antarabangsa terutamanya situasi di Palestin,” menurut ulasan yang dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) akan lawatan itu.
Kenyataan itu menyebut semasa di Jordan Kamarudin melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Luar dan Ekspatriat Palestin, Dr Amal Jadou Shaka, dengan kedua-dua mereka bertukar-tukar pandangan dan pendapat berhubung situasi semasa di Palestin.
"Pihak Palestin merakamkan penghargaan di atas sokongan teguh dan tidak berbelah bahagi Malaysia dalam perjuangan rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa kezaliman rejim Israel,” kata Wisma Putra.
Jumlah dagangan dua hala Malaysia-Jordan bagi tahun 2020 bernilai AS$146.5 juta (RM615.5 juta) dengan import sebanyak AS$56.3 juta (RM 237.5 juta) dan eksport sebanyak AS$90.2 juta (RM377.9 juta).
Sementara itu, ketika berada di Azerbaijan, Kamarudin bertemu Menteri Luar, Jeyhun Bayramov dan membincangkan mengenai langkah mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan hubungan rakyat dengan rakyat.
"Kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa seperti isu Afghanistan dan Palestin,” jelas Wisma Putra.
Kamarudin turut mengadakan pertemuan dengan Hikmat Hajiyev, Penasihat Dasar Luar kepada Presiden Azerbaijan dan fokus perbincangan tertumpu kepada usaha-usaha yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Azerbaijan.
Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan Azerbaijan dengan nilai dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada tahun 2020 berjumlah RM380.28 juta, dengan nilai eksport sebanyak RM93.74 juta dan nilai import sebanyak RM286.54 juta. - Bernama