Tanah mendap: Polis ronda, kawal keselamatan di premis komersial berhampiran

Iklan
Tanah mendap di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada Selasa.

SERDANG - Polis membuat kawalan keselamatan di premis komersial berhampiran lokasi tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, pemilik premis kedai itu juga dinasihatkan untuk berpindah dan menghentikan sementara operasi.

Iklan
Iklan

"Kita akan menjalankan rondaan untuk memastikan tiada kejadian pecah kedai atau kecurian berlaku.

"Orang ramai termasuk peniaga juga dinasihatkan tidak berada di lokasi sehingga kawasan itu disahkan selamat untuk diduduki semula oleh agensi berkaitan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini pada Rabu.

Iklan

Anbalagan berkata, pihaknya bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan sentiasa mengawasi lokasi dalam memastikan keselamatan di situ terjamin.

"Pada ketika ini kerja pembaikan termasuk pemasangan cerucuk kepingan sedang berjalan di lokasi terbabit dalam memastikan tanah mendap tidak terus merebak," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Anbalagan memaklumkan pemilik lima kenderaan yang rosak akibat kejadian tanah mendap itu belum tampil membuat laporan polis.

"Saya difahamkan ada antara kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah kenderaan yang sedang dibaiki di sebuah bengkel kenderaan di situ," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan lima kenderaan yang diparkir di kawasan itu rosak akibat tanah mendap.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan pada jam 6.38 petang bergegas ke lokasi dan mendapati lima kenderaan rosak akibat kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.