Ketua jurulatih merangkap pengurus bantu percepat keputusan

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Karathu

CADANGAN Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya supaya pengendali skuad kebangsaan turut melaksanakan tanggungjawab pengurus disifatkan sebagai satu saranan yang baik dan sesuai dilaksanakan dalam meningkatkan semula prestasi pasukan negara.

Malah tindakan secara keseluruhannya menyaksikan seseorang ketua jurulatih merangkap pengurusan pasukan berkuasa ke atas skuad kebangsaan termasuk dari segi membuat sebarang keputusan.

Iklan
Iklan

Perkara itu ditegaskan bekas pemain kebangsaan, Datuk M Karathu yang pernah menjawat jawatan selaku pengurus serta ketua jurulatih skuad Kejor Yob Kejor pada musim 2009 lalu.

Karathu berkata, cadangan itu sesuai dilaksanakan pada era profesional bola sepak negara ketika ini, namun seseorang ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan yang dilantik mestilah daripada kalangan individu yang berpengalaman luas, meminati dan memahami bola sepak.

Iklan

"Sekarang bola sepak sudah masuk era profesional jadi saya tengok tidak ada masalah untuk jawatan ketua jurulatih dan pengurus pasukan kebangsaan digalas oleh orang sama.

"Malah bagi saya, keadaan itu secara keseluruhannya akan lebih banyak memberikan ruang terutamanya daripada segi membuat keputusan bagi pasukan kebangsaan itu sendiri. Tetapi perlu dipastikan juga orang yang dilantik itu betul-betul minat dan faham dengan bola sepak.

Iklan

"Antara kelebihannya adalah tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan sesebuah pasukan kerana jurulatih dan pengurus merupakan orang yang sama. Jadi, tak ada orang boleh kacau,” katanya.

Selasa lalu, Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya, Datuk Dell Akbar Khan dalam beberapa cadangan penambahbaikan skuad kebangsaan turut mencadangkan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya turut diberikan peranan sebagai pengurus pasukan.

Justeru, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan pihaknya bersedia mempertimbangkan cadangan itu, malah telah pun dibawa kepada Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell untuk dibincangkan bersama dengan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pang Gon.

Tambah Karathu, cadangan itu akan memberikan kelebihan kepada seseorang jurulatih yang juga pengurus pasukan dalam menentukan pemain yang akan beraksi atau sebaliknya, corak taktikal pasukan dan lain-lain.

"Bila lantik coach dan manager (jurulatih yang juga pengurus pasukan), tak ada orang kacau lagi...tak ada politik.

"Tetapi dalam masa sama, jurulatih yang juga pengurus ini mestilah selalu terlibat dengan pasukan dengan sering menyaksikan pemain beraksi selain mengenali pemain-pemain yang beraksi untuk kelab.

"Malah pada satu tahap jika pasukan menang atau kalah, mereka ini boleh memberikan kata-kata motivasi kepada pemain supaya beraksi dengan lebih baik pada perlawanan pada masa depan,” katanya.