BUKAN hanya bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ‘rasa tertipu’, malah sebilangan rakyat Malaysia juga merasakannya. Bermula dengan kenyataan orang utan membunuh manusia, kini Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) pula mendakwa aktiviti pembalakan tidak menjejaskan populasi harimau.
Rasanya, kedua-dua kenyataan itu amat bertentangan dengan apa yang dipelajari di sekolah, mahupun universiti suatu ketika dahulu.
Jika ‘kaum orang utan dan harimau’ boleh bermesyuarat, sudah pasti manusia akan menjadi musuh utama mereka.
Minggu lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa, di Malaysia jika manusia nampak orang utan, haiwan itu akan bunuh manusia terlebih dahulu, bukan manusia bunuh orang utan.
Di Malaysia, kawasan pemuliharaan orang utan terletak di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Pusat Hidupan Liar Matang di Sarawak serta Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok di Sandakan, Sabah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Zolkipli Mohamad Aton, hakikatnya orang utan bersifat introvert, pemalu dan hanya cenderung duduk serta melihat manusia.
Disebabkan sifat itu, beliau percaya orang utan tidak akan menyerang manusia, malah tidak mungkin cuba mengejar manusia kerana orang utan terlalu sibuk meneruskan kehidupan.
Beralih kepada kisah pak belang, Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah berkata, pembalakan di Kelantan tidak menjejaskan populasi harimau diambil berdasarkan kajian seorang pakar dari Sarawak.
Menurutnya, bila ada pembalakan akan ada tumbuhan baharu yang boleh menarik perhatian haiwan seperti kancil untuk datang ke kawasan tersebut. Maka, kedatangan kancil akan menjadi sumber makanan buat harimau dan situasi itu memudahkan harimau mendapatkan sumber makanan berbanding kawasan hutan tebal.
Hutan habitat semula jadi harimau tetapi manusia yang rakus merobek khazanah alam hingga ‘kampung harimau’ pun hendak dikebas. Ingatlah, Tuhan menciptakan bumi untuk dikongsi antara manusia, haiwan, tumbuhan dan alam.