GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Polis menahan lima lelaki penarik kereta (callman) selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan melibatkan 20 individu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 26 hingga 50 tahun itu ditahan di sekitar bandar ini selepas pergaduhan berlaku.
Menurutnya, polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi keledar dan ‘motorcycle fork lock’.
"Kita masih mengesan suspek lain (penarik kereta) yang terlibat dalam pergaduhan pada petang Rabu selepas satu kejadian kemalangan berlaku di lebuh raya berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata. Permohonan reman terhadap semua suspek yang ditangkap akan dibuat pada hari ini (Khamis) di Mahkamah Majistret Georgetown," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Mengulas mengenai kejadian berkenaan, Soffian berkata, pergaduhan berlaku selepas satu kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari arah Bayan Lepas menghala ke pusat bandar.
Katanya lagi, pergaduhan melibatkan sekumpulan individu itu telah dirakam orang awam dan tular di media sosial sejak petang Rabu.
"Beberapa klip video telah tular di media sosial mengenai insiden berkenaan yang mana ia telah dirakam oleh orang awam kira-kira jam 2 petang.
"Hasil siasatan, pergaduhan tersebut melibatkan sekumpulan individu (kira-kira 20 orang) terdiri daripada pekerja-pekerja penarik kereta. Ia dikatakan berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan," katanya.
Beliau menambah, anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang berada di lokasi kejadian telah cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun gagal.
"Selepas gagal meleraikan pergaduhan, anggota bertugas telah mendapatkan bantuan daripada anggota polis Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Timur Laut.
"Apabila anggota MPV dan URB sampai di lokasi kejadian, kesemua individu berkenaan telah melarikan diri," katanya.
Kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira 5 kilometer di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Selain polis, anggota warden trafik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut mengawal lalu lintas di lokasi kejadian bagi melancarkan pergerakan kenderaan.
Trafik kembali lancar selepas pembersihan mozek yang bertaburan di kawasan kemalangan dilakukan petugas MBPP.