SHAH ALAM - Kerajaan Selangor perlu mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemeriksaan terperinci di semua kawasan berisiko tinggi berikutan peristiwa tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan pada Selasa.
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan ( REACH ), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kajian perlu dilakukan di seluruh Selangor agar kejadian di Seri Kembangan itu tidak berulang di lokasi lain.
"Kami mengalu-alukan pengumuman pihak berkuasa bahawa satu kajian akan dilakukan ke atas kawasan di sekeliling tempat kejadian tetapi ini tidak memadai.
"Kita bernasib baik kerana tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa di Seri Kembangan tetapi kita mungkin tidak akan bernasib baik pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Iskandar berkata, terdapat banyak kawasan berisiko tinggi di negeri ini yang menyebabkan kejadian tanah mendap atau tanah runtuh.
"Justeru pemeriksaan segera perlu dilakukan di samping pemantauan yang berterusan.
"Kerajaan negeri juga perlu tegas di dalam mengawal pembangunan di kawasan berisiko ini untuk menjamin keselamatan rakyat," jelasnya.
Beliau menegaskan, pemaju perumahan juga perlu diwajibkan memaklumkan kepada pembeli rumah tentang risiko menetap di kawasan tersebut.
"Kita tidak mahu pembeli-pembeli rumah merasa tertipu apabila timbul masalah setelah mereka membeli kediaman terbabit," ujarnya.
Sebelum ini lima kenderaan yang diletakkan di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai rosak selepas berlaku mendapan tanah di kawasan itu pada petang Selasa.
Lima kenderaan tersebut diletakkan di hadapan bengkel kereta yang jarak antara tebing runtuh dengan bengkel tersebut adalah tujuh meter.