PERUNCIT perkakas rumah terbesar di Malaysia, MR D.I.Y membuka cawangannya yang ke-800 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang menawarkan 18,000 produk dengan harga berpatutan untuk memberikan kemudahan kepada komuniti di kawasan berkenaan.
Ketua Pemasarannya, Alex Goh berkata, cawangan terbaharu itu menawarkan 18,000 produk dengan harga berpatutan melibatkan lima kategori produk utama dalam iaitu perkakasan, keperluan rumah dan perhiasan, produk elektrik, alat tulis dan kelengkapan sukan.
"Pembukaan cawangan baharu itu menunjukkan MR. D.I.Y sangat signifikan kepada pelanggan kami. Kami memulakan perniagaan ini di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan kini selepas 17 tahun kami meraikan sambutan pembukaan cawangan kami yang ke-800.
"Pencapaian kami ini adalah sokongan rakyat Malaysia secara berterusan dan 11,000 kakitangan kami di seluruh negara. Kami akan terus fokus untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Gon berkata, sempena pembukaan cawangan baharu itu, pelbagai aktiviti dan promosi akan diadakan bermula 28 Januari hingga 30 Januari 2022 dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.
"Pelanggan kami yang membelanjakan RM80 dalam satu resit akan menikmati ‘Shopping Spree’ dan berpeluang untuk menyertai ‘Wheel of Weapons’ dan bermain ‘Climbing Ball Challenge untuk memenangi baucar tunai MR D.I.Y dan MR DOLLAR.
"Seramai 800 pelanggan pertama yang datang ke cawangan ini dan membelanjakan minimum RM40 selama tiga hari akan mendapat botol air MR D.I.Y dan payung,” katanya.
Beliau berkata, sempena pembukaan cawangan baharu itu juga, MR D.I.Y mengekalkan komitmen ‘Always Low Prices’ peruncit dan meneruskan inisiatif"Harga Dikunci: Harga Kami Tetap Sama” di seluruh Malaysia dan tidak menaikkan harga barang di tiga jenamanya - MR. D.I.Y, MR. TOY and MR. DOLLAR sehingga 31 Mac 2022.