Ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan belum dikesan: Mufti

Iklan
Datuk Mohamad Shukri Mohamad

KOTA BHARU - Ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan yang disebarkan oleh sebuah kumpulan dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) berasal dari Indonesia belum dikesan di Kelantan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau maklumat berkenaan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

"Jika ada dikesan di sini yang berkaitan ajaran sesat, satu bahagian di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri Kelantan (Jaheaik) akan membuat siasatan terlebih dahulu.

"Kemudian hasil siasatan itu akan dihantar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk diteliti," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai sebuah kumpulan yang mengajak orang ramai untuk mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya mengenai akhir zaman telah mula bertapak di negara ini.

Iklan

Kumpulan dikenali sebagai Gaza itu berasal dari negara yang terkenal dengan jolokan Garuda itu dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak ALLAH SWT di dalam mimpinya.

Menurutnya, laporan tersebut akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk tindakan lanjut.

Iklan

Beliau berkata, itulah langkah-langkah yang diambil jika pihaknya ada menerima sebarang laporan berkaitan ajaran sesat di Kelantan.

Sinar Harian pada Rabu menerima e-mel dari seorang lelaki tidak dikenali yang mengajak orang ramai untuk lebih mendekati gerakan tersebut.

Dalam hantaran e-mel itu turut disenaraikan beberapa pautan laman web bagi memudahkan orang ramai mengetahui maklumat lanjut mengenai Gaza, Muhamad Qasim serta safari dakwah yang telah dijalankan di Indonesia.

Gaza telah pergi ke Pakistan pada 2021 untuk bertemu sendiri dengan Muhamad Qasim dan semakin bertambah yakin selepas bertemu dengannya.

Mereka juga telah membuat sesi 'zoom live' sewaktu di sana dan menjemput orang ramai, wartawan dan agamawan untuk lebih mengenal pemuda itu.