MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengesan tindakan segelintir pengguna membuat pembelian minyak masak peket secara berganda menggunakan ahli keluarga menyebabkan rak bekalan itu kosong sebelum sempat ditambah semula peniaga.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan oleh penguat kuasa mendapati terdapat pembeli melakukan perbuatan itu untuk membuat stok bekalan.
Malah menurutnya, tidak menolak pembelian memborong minyak masak peket itu dipercayai kerana mereka panik dengan khabar angin mengenai kenaikan harga barang.
"Walaupun peruncit mengenakan had pembelian minyak masak satu kilogram sebanyak tiga peket per transaksi untuk setiap pelanggan namun masalah kehabisan minyak masak tetap berlaku.
"Contoh terdapat enam ahli keluarga ke pasar dan mereka akan beratur membeli tiga peket minyak masak setiap seorang untuk dijadikan stok di rumah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan harga barangan keperluan menjelang Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Melaka, di Bachang, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.
Mengulas lanjut beliau berkata, trend kekurangan bekalan minyak masak peket itu dikesan sering berlaku pada awal dan akhir bulan iaitu dalam tempoh pengilang serta peruncit melakukan penambahan semula stok.
"Contoh jumlah dihadkan 70 metrik tan sebulan.
"Bila kuota itu telah dipenuhi mereka perlu menunggu bulan seterusnya dan proses nak siapkan bekalan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat hari," katanya.
Sementara itu Hee Sem mengingatkan peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia yang berakhir awal bulan depan.
Menurutnya, sekiranya dikesan berlaku tindakan itu dalam kalangan peniaga KPDNHEP tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil.
"Kita bukan nak beri amaran tapi ingatan kepada peniaga, tolong jangan naikkan harga pada saat-saat akhir terutamanya di pasar awam dan tani," katanya.