SUNGAI PETANI - Polis menahan dua beranak dan merampas sembilan ketulan mampan ganja anggaran berat 8,990 gram dalam serbuan di Sungai Layar di sini petang Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, warga emas berusia 75 tahun dan anaknya berusia 52 tahun itu ditahan polis ketika berada dalam kereta jenis Proton Saga yang berhenti di tepi jalan Kampung Teluk, Sungai Layar sekitar jam 2 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu, polis menemui sembilan ketulan mampat dibaluti plastik lut sinar dan aluminium foil disyaki ganja dengan anggaran berat 8,990 gram bernilai RM22,500.
"Hasil pemeriksaan mendapati ujian saringan air kencing suspek pertama berusia 75 tahun positif dadah jenis ganja `THC’ atau Tetra Hydrocannibol, manakala suspek kedua negatif dadah.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek tiada kesalahan lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, dua beranak itu direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Susulan penangkapan suspek dan rampasan dadah tersebut, JSJN Kedah telah menyita harta kedua-dua suspek, iaitu wang tunai berjumlah RM1,012," katanya.
Mohd Taufik berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha JSJN dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya ditumpaskan di negeri ini.
"Polis juga sentiasa memerlukan kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di persekitaran mereka,” katanya.