108 pesakit di 3 hospital dibenarkan pulang

Iklan
Tujuh orang pesakit masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

PASIR GUDANG - Seramai 108 pesakit sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di hospital sehingga jam 12 tengah malam tadi.

Kesemua mereka ini mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai.

Iklan
Iklan

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah yang masih menerima rawatan di wad adalah 143 orang berbanding 154 orang seperti dilaporkan semalam.

Menurutnya, angka tersebut termasuk 36 kes yang dirujuk ke hospital di luar daerah Johor Bahru, manakala 29 kes dirujuk ke Hospital luar negeri Johor.

Iklan

"Tujuh orang pesakit masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya di sini, hari ini.

Sahruddin berkata, Bahagian Psikologi dan Kaunseling bersama Psychological Support Team (PST) Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengambil inisiatif dengan menyediakan Pegawai Psikologi.

Iklan

Katanya, langkah itu dalam usaha mengurangkan trauma dan kebimbangan mangsa-mangsa bencana yang terlibat dengan insiden pembuangan sisa kimia Sungai Kim Kim.

"Pasukan ini dianggotai oleh seramai 13 orang Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) serta dibantu oleh PST dari pelbagai agensi.

"Pasukan ini telah mula bertugas di ‘Medic Base’ Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang sejak 15 Mac 2019,” katanya.

Beliau berkata, tujuan utama pasukan itu adalah untuk membantu orang awam dalam menghadapi intervensi krisis, kaunseling, bimbingan, psikopendidikan, program serta aktiviti dan sokongan psikologikal.

Selain itu, Sahruddin memaklumkan perkembangan kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim sehingga jam 12 tengah malam tadi, berjalan lancar.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengesahkan bacaan Pencemaran Pelepasan Gas (PPM) di sekitar kawasan sepanjang 1.5 kilometer radius, kini berada di bawah had paras PPM dibenarkan.

"Keadaan stabil dan terkawal malah bacaan kualiti udara serta kerja-kerja pembersihan masih giat dijalankan oleh kontraktor dilantik dengan pemantauan pihak Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), JBPM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 550 metrik tan tanah tercemar dan enap cemar serta 700 metrik tan air tercemar telah dikumpulkan sehingga jam 4.00 petang semalam.

Katanya, jarak kerja pembersihan sepanjang sungai adalah 1.3 kilometer.

"Baki 200 meter akan diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya satu hingga dua hari akan datang,” katanya.

Sahruddin berkata, pasukan penilai ditubuhkan bagi membuat pemantauan di kawasan Zon Merah oleh Jabatan Kimia, JBPM, JAS, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Meteorologi pada 15 Mac 2019.

"Agensi-agensi yang membuat persampelan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH), Petronas, JAS, Bomba (HAZMAT), Kimia Malaysia & kontraktor pembersihan telah membuat persampelan mengikut masa yang telah ditetapkan di 16 lokasi di sekitar Pasir Gudang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menghampiri kawasan kejadian dan dalam masa sama, mengambil langkah pencegahan dengan mengurangkan aktiviti luar serta memakai topeng muka jenis R95 bagi mengelak terdedah kesan pencemaran.

"Sehingga hari ini, institusi pendididkan di Pasir Gudang masih lagi tidak beroperasi dan akan hanya memulakan sesi pembelajaran setelah diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa,” katanya.