Penebar roti canai jadi buruan kedai makan

Iklan
Kamarul Rizal menunjukkan kemahiran menebar roti canai

SEREMBAN - Bagi kebanyakan orang, bekerja sebagai penebar roti canai mungkin dilihat biasa, tetapi sebenarnya boleh menjana pendapatan lumayan dan dijadikan sebagai satu kerjaya.

Ia diakui oleh pemilik kedai roti canai Abang Terbang di Kuala Pilah, Kamarul Rizal Kamarudin, 42, atau dikenali sebagai Abang Terbang yang telah menceburi bidang berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Walaupun tanpa kelulusan tinggi, bapa tiga anak itu kini mampu membuka sebuah kedai dan menggaji sembilan pekerja.

"Bagi kebanyakan orang beranggapan nak dapat gaji lumayan perlu ada kelulusan tinggi dan anak muda kita sekarang lebih memilih untuk makan gaji berbanding kerja sendiri.

Iklan

"Orang fikir berniaga roti canai seperti saya ini, apalah sangat. Tapi sebenarnya ia boleh pergi jauh dan sekarang penebar roti canai Melayu ini jadi buruan banyak kedai makan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Belajar tebar roti canai seawal usia 14 tahun

Kamarul Rizal menunjukkan kemahiran menebar roti canai

Berkongsi penglibatannya sebagai pembuat dan penebar roti canai, Kamarul Rizal berkata, dia mula belajar menebar roti canai seawal usia 14 tahun di sebuah restoran tempatnya bekerja.

Iklan

"Habis saja sekolah saya kerja sambilan di sebuah restoran sebagai pelayan dan pencuci pinggan. Di situ ada penebar roti canai yang tawarkan diri untuk ajar saya.

"Seperti mana drama 'Senario The Movie', saya diajar menebar roti canai dengan menggunakan kain basah untuk melembutkan tangan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sejak itu Kamarul Rizal tertarik untuk mendalami ilmu membuat dan menebar roti canai secara lebih serius dan merealisasikannya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, dia belajar membuat dan penebar roti canai dengan seorang penebar roti canai di Melaka selama dua bulan.

"Saya memulakan kerjaya pertama di sebuah kedai di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban dan lebih 10 kedai saya bekerja sebagai penebar sebelum membuka kedai sendiri.

"Bagi saya nak menghasilkan roti canai yang lembut bukannya mudah kerana ia memerlukan kemahiran bermula dari adunan tepung sehinggalah cara menebar roti canai," katanya.

Lebih 500 keping roti canai ditempah pelanggan setiap hari

Kamarul Rizal berkata, setiap hari sebanyak 400 sehingga 500 keping roti canai ditempah pelanggan dan pada hari minggu boleh mencecah sehingga 700 keping.

Ujarnya, keadaan itu memperlihatkan yang roti canai menjadi antara menu pilihan sarapan masyarakat Malaysia.

"Kita tengok di mana-mana saja kedai makan yang ada menjual roti canai, akan dikunjungi ramai. Ia seperti jadi tarikan.

"Biasanya orang nak makan roti canai akan ke restoran mamak, tapi sebenarnya ramai yang cari roti canai buatan orang Melayu," katanya.

Oleh sebab itu, Kamarul Rizal sangat menggalakkan generasi muda khususnya untuk menceburi bidang itu yang kini mempunyai permintaan tinggi.

Tambahnya, cadangan Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani mewujudkan akademi khusus untuk mengajar kemahiran menebar roti canai di Negeri Sembilan disifatkan usaha baik.

"Mungkin orang dengar bunyinya macam melucukan, tetapi ia satu usaha baik yang dapat mengajar golongan muda kemahiran khusus membuat roti canai yang kini mendapat permintaan tinggi," katanya.

Pekerja restoran Abang Terbang, Nur Atiqah Mohd Salleh, 21, berkata, dia berbangga kerana boleh menebar roti canai.

Nur Atiqah

"Saya bekerja di sini sejak setahun lalu dan sejak itu, bos mengajar kami semua menebar roti canai sedangkan tugas saya adalah mengambil pesanan dan menghantar makanan.

"Saya tidak malu dengan kerjaya ini dan percaya satu hari nanti saya juga mampu untuk memiliki restoran yang menyediakan roti canai," katanya.