BNM, Bank Indonesia kerjasama pembayaran OR rentas sempadan

Iklan
Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia hari ini melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan yang akan membolehkan pembayaran rentas sempadan yang pantas, selamat dan cekap antara Malaysia dan Indonesia. Gambar hiasan

BANK Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia hari ini melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan yang akan membolehkan pembayaran rentas sempadan yang pantas, selamat dan cekap antara Malaysia dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan bersama, bank-bank pusat berkenaan berkata melalui jalinan ini, pengguna di kedua-dua negara boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow atau QRIS (Quick Response Code Indonesian Standard) yang dipaparkan oleh peniaga-peniaga di premis dan secara dalam talian.

Iklan
Iklan

"Hari ini bermulanya fasa rintis (pilot phase) untuk pelancaran komersial penuh pada suku ketiga tahun 2022. Jalinan ini juga akan diperluas pada masa hadapan bagi menyokong aktiviti kiriman wang rentas sempadan iaitu pengguna di kedua-dua negara boleh membuat pindahan dana secara masa nyata dengan mudah," kata kedua-dua bank itu.

Timbalan Gabenor BNM Jessica Chew Cheng Lian berkata jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia merupakan pencapaian penting dalam kerjasama erat antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

Iklan

"Selain itu, fasa dua jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Thailand juga telah bermula minggu ini. Perkembangan sebegini akan membawa kita lebih dekat ke arah merealisasikan visi mewujudkan rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas dan cekap.

"Ini seterusnya akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan supaya individu serta peniaga dapat meraih manfaat,” tambah beliau.

Iklan

Timbalan Gabenor Bank Indonesia Doni P. Joewono pula berkata inisiatif ini menghubungkan pembayaran rentas sempadan melalui kesalinghubungan kod QR kebangsaan dua negara dan juga merupakan satu lagi pencapaian dalam Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025.

"Bank Indonesia menyedari akan kepentingan jalinan sistem pembayaran rentas sempadan dan telah berusaha secara berterusan untuk melaksanakan inisiatif seumpama ini.

"Inisiatif ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dalam ruang pembayaran rentas sempadan dan menjadi langkah penting untuk meningkatkan kecekapan transaksi, menyokong pendigitalan dalam sektor perdagangan dan pelaburan serta mengukuhkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCS)," tambah beliau.

Kecekapan transaksi akan meningkat dan seterusnya kos transaksi dapat dikurangkan melalui penggunaan sebut harga langsung kadar pertukaran mata wang tempatan yang disediakan oleh bank-bank yang merupakan Appointed Cross Currency Dealers (ACCD) di bawah Rangka Kerja LCS, katanya.

Kedua-dua bank pusat itu menambah kesalinghubungan pembayaran ini akan mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dengan Indonesia dan menyokong pemulihan ekonomi selepas pandemik.

Apabila perjalanan antarabangsa dibuka semula, sektor pelancongan akan menjadi sektor utama yang banyak menerima manfaat daripada perkhidmatan ini.

Kedua-dua negara ini juga merupakan koridor kiriman wang yang utama bagi warganegara masing-masing yang bekerja di Malaysia dan Indonesia yang akan mendapat manfaat daripada kiriman wang rentas sempadan yang lebih pantas, murah dan telus.- Bernama