SEREMBAN - Bermodalkan raih simpati seorang bayi, seorang wanita warga asing yang menjadi pengemis di daerah ini mampu meraih kutipan sehingga RM2,300 sehari.
Perkara berkenaan dikongsi oleh seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Muhamad Reza Khalili Khalil.
Menerusi perkongsiannya, dia memberitahu wanita itu sanggup menaiki teksi dari Sungai Buluh, Selangor ke Seremban untuk menjalankan aktiviti tersebut.
"Kaya jadi peminta sedekah, kalah gaji pegawai. Warga asing pakai tudung, menyamar Islam, bila disuruh mengucap, geleng kepala, bila tanya Islam, geleng kepala juga.
"Pendapatan harian mencecah RM2,300, siap ada buku catatan pendapatan harian bagi tahun 2021 dan 2022, agaknya warga Seremban pemurah, ya rakyat Malaysia," tulisnya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, siasatan lanjut dilakukan dan mendapati kejadian itu berlaku di Pasar Malam Ampangan pada Selasa lalu.
Menurutnya, tinjauan oleh Unit Penguat Kuasa, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban telah menemui dua wanita berumur 40 dan 35 tahun sedang mengemis.
"Turut ada bersama mereka adalah anak masing-masing yang berumur dua tahun. Hasil siasatan menunjukkan mereka adalah warga asing dan tinggal di Sungai Buloh, Selangor serta menaiki teksi untuk mengemis di Ampangan.
"JKM telah menjelaskan kepada kedua-dua peminta sedekah berkenaan bahawa perbuatan mengemis adalah salah di sisi undang-undang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Tambah beliau, memandangkan kedua-duanya adalah warga asing, mereka telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia.
Katanya, JKM turut berdepan masalah untuk menyiasat lebih lanjut mengenai latar belakang mereka termasuk aktiviti dilakukan kerana mereka seolah-olah tidak memahami apabila disoal siasat.
Pada Rabu tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook memuat naik hantaran mengenai warga asing itu yang menyamar sebagai peminta sedekah sekitar Seremban sehingga meraih kutipan sebanyak RM2,300 sehari.
Wanita warga asing itu dilihat menjadikan sehelai tudung sebagai ‘modal’ meraih simpati orang ramai.