Ditawar untung pelaburan 400 peratus, suri rumah rugi RM33,800

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM33,800 setelah terpedaya dengan taktik sindiket penipuan pelaburan mata wang digital yang ditawarkan melalui laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, wanita berusia 41 tahun itu mendakwa telah melihat iklan yang menawarkan keuntungan 400 peratus dari jumlah modal dalam tempoh sebulan pada 10 Disember lalu.

Iklan
Iklan

"Mangsa kemudiannya dijemput masuk ke dalam platform Telegram dan diberi pautan ke sebuah laman web yang menerangkan berkenaan pendaftaran dan pelaburan mata wang digital.

"Selepas mendaftar, mangsa kemudiannya diberikan satu akaun e-wallet bagi memantau pelaburannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mohd Mahidisham berkata, mangsa telah melakukan tujuh transaksi yang berjumlah RM33,800 ke dalam dua akaun bank yang diberikan pada 28 hingga 30 Disember lalu.

"Pada 15 Januari lalu, mangsa kemudiannya telah membuat semakan ke atas akaun e-wallet miliknya dan mendapati wang berjumlah RM147,114, tetapi wang tersebut tidak dapat dikeluarkan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, mangsa telah berurusan dengan pihak khidmat pelanggan pelaburan tersebut dan diarahkan untuk membuat bayaran sebanyak RM29,423 sebagai wang jaminan sebelum wang tersebut dikeluarkan.

"Merasakan dirinya tertipu, mangsa telah membuat satu laporan polis pada Rabu. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi tindakan siasatan selanjutnya," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu ke atas sesuatu aktiviti pelaburan mata wang digital dengan Suruhanjaya Sekuriti.

"Sebarang jenayah ataupun aktiviti yang mencurigakan, boleh WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.