LIPIS - [DIKEMAS KINI] Tiga penumpang maut selepas kereta dinaiki mereka yang dipandu suami salah seorang mangsa terbabit kemalangan dengan sebuah van syarikat keselamatan di Kilometer 84, Jalan Lipis -Merapoh di sini pada petang Khamis.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang itu, dua penumpang kereta jenis Toyota Altis, Mariam Ariffin, 41, dan Che Mazenah Hussin, 61, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Rosnani Md Daud, 28, iaitu isteri pemandu yang berada di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis.
Pemandu kereta yang juga imam Masjid Merapoh, Wan Mohd Azizol Wan Daud, 35, mengalami patah tangan manakala pemandu van, Mohd Sofiean Hamzah, 42, hanya cedera ringan di muka.
Dua penumpang van masing-masing berusia 41 dan 62 tahun mengalami patah kaki.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kereta Toyota Altis dinaiki pasangan suami isteri bersama dua rakan dalam perjalanan dari arah Merapoh menghala ke Lipis.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar simpang menyebabkan kereta dipandu hilang kawalan sebelum berpusing masuk ke laluan bertentangan.
"Pada masa sama van syarikat keselamatan yang berada di laluan itu gagal mengelak lalu terlanggar kereta tersebut, sebelum terbalik" katanya.
Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati kemalangan berlaku di laluan lurus dan keadaan cuaca baik.
"Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.