Masih ada masa untuk Pas, UMNO adakan rundingan: Abdullah

Iklan
Abdullah ketika sesi Dialog Tiga Penjuru bertajuk ‘PRN Johor: Dulu, Kini dan Apa Pula Selepas Ini?’ terbitan Astro Awani pada Khamis

SHAH ALAM - Masih ada masa untuk Pas dan UMNO mengadakan rundingan untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, kata Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.

Beliau berkata, ia berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Johor dalam masa beberapa hari lagi iaitu pada 9 Februari depan.

Iklan
Iklan

"Soal mengenai kerjasama parti itu kita sedang dalam rundingan. Masih ada masa lagi sebab SPR pun akan bermesyuarat pada 9 Februari.

"Tarikh penamaan calon pun belum ada lagi,” katanya dalam Dialog Tiga Penjuru bertajuk ‘PRN Johor: Dulu, Kini dan Apa Pula Selepas Ini?’ terbitan Astro Awani pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kerjasama Pas dan UMNO pada PRN Johor.

Dialog tersebut turut menampilkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat.

Iklan

Ditanya mengenai strategi Pas memikat hati pengundi, Abdullah berkata, pihaknya telah mengarahkan semua ahli Pas supaya bekerjasama di setiap kawasan.

"Kita anggarkan jentera kita pada kali ini lebih kurang 13,000. Kalau campur dengan jentera luar (ahli Pas dari negeri lain) mungkin lebih daripada 15,000.

"Jadi ini memang kita sudah berikan satu arahan kepada kesemua kawasan Parlimen dan dalam masa terdekat ini, kita juga akan membuat satu perhimpunan untuk memastikan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Di samping itu, kita juga akan menggunakan platform media sosial sebagai alternatif tambahan untuk mendorong lebih ramai lagi rakyat Johor keluar mengundi,” katanya.