Cabaran pikat 700,000 pengundi muda

Iklan
Lebih 700,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas didaftarkan mengundi secara automatik selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu. - Foto Bernama

WALAUPUN tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih belum diumumkan, namun debarannya kian terasa sejurus terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu minggu lalu.

Yang menjadi perhatian ramai adalah ‘plot twist’ yang mungkin bakal berlaku kerana buat pertama kalinya landskap pilihan raya umum (PRU) akan berubah.

Iklan
Iklan

Lebih 700,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas didaftarkan mengundi secara automatik selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18, sekali gus menjadi cabaran kepada parti politik bertanding.

Iklan

Ia adalah ujian kelompok pertama yang mengundi pada usia 18 tahun ke atas dan kira-kira 40 peratus undi datang daripada pengundi muda.

Menariknya, terdapat 1,001 kemungkinan boleh berlaku kali ini apabila mereka digembar-gemburkan sebagai game changer PRN Johor kerana pemikiran politik pengundi muda masih sukar ditafsir dan diramal.

Iklan

Ada khuatir sekiranya mereka memilih untuk mengundi secara rawak atau hanya mengikut pilihan ibu bapa yang bersandarkan kepercayaan parti politik pilihan mereka.

Terdapat kemungkinan pengundi muda memilih tidak keluar mengundi kerana kesedaran politik masih lemah.

Perkara itulah menjadi cabaran kepada parti-parti politik yang bertanding pada PRN Johor. Mereka harus memikirkan taktik bagaimana hendak memikat hati pengundi-pengundi muda.

Banyak parti sudah ‘memanaskan enjin’ dengan menggunakan media sosial seperti TikTok, Twitter dan Facebook untuk mendekatkan diri dengan pengundi muda.

Ia sebenarnya adalah taktik yang bagus kerana kebanyakan individu dalam golongan 18 tahun ke atas mencari berita dan segala informasi di media sosial. Dari situ, calon-calon dapat sedikit sebanyak melihat cara pemikiran dan reformasi yang mereka mahukan.

Tidak mustahil juga ada parti-parti yang akan meletakkan calon muda agar lebih dekat di hati pengundi muda seperti yang kita lihat pada PRN Melaka apabila Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon seawal usia 21 tahun untuk bertanding walaupun tewas.

Tentunya parti dan calon-calon bertanding bersengkang mata mahu menawan hati pengundi atas pagar yang dikatakan memiliki kuasa untuk menentukan siapa bakal memimpin Johor akan datang.

Bagi pengundi pula, ia adalah tanggungjawab berat kerana keputusan undi mereka menentukan kerajaan Johor untuk lima tahun kemudian.

Berdasarkan media sosial, rata-rata pengundi muda mahukan perubahan politik – saingan sihat antara parti, bebas rasuah dan manifesto bukan sekadar janji.

Menurut penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, karakter pengundi baharu menarik untuk diperhatikan adalah pengundi atas pagar yang mudah dipengaruhi dengan sentimen semasa dan tidak bersikap kepartian.

Kali ini kita juga melihat Parti Warisan (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan bertanding buat kali pertama. Tidak mustahil mereka juga boleh meraih undian yang banyak kerana sering memainkan manifesto perjuangan anak muda dalam negara.

Bagi UMNO pula, walaupun Barisan Nasional (BN) berkeyakinan besar mampu menang PRN Johor sebagaimana kejayaan majoriti dua pertiga pada PRN Melaka yang lalu, mereka tetap harus berhati-hati dan bijak mengatur langkah jika ingin mengekalkan momentum.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah dalam ciapan Twitternya berkata, dengan pelaksanaan Undi18, beliau berharap semua parti menumpukan kempen dan strategi kepada perkara-perkara yang melihat ke hadapan dan menawarkan kualiti dalam berpolitik yang lebih matang serta progresif.

Persoalan ke mana aliran sokongan lebih 700,000 pengundi baharu masih menjadi tanda tanya.

Yang pasti, orang muda mempunyai pengaruh amat besar dan boleh mengubah sejarah serta keputusan luar jangka PRN Johor.

* Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah wartawan Sinar Premium