PENGENDALI Cameroon, Toni Conceicao dijangka tidak banyak melakukan banyak rombakan menjelang aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika berdepan Gambia pada awal pagi Ahad di Stadium Doululla.
Menurut Conceicao, dia masih menaruh kepercayaan terhadap barisan yang beraksi berdepan Comoros mampu menghasilkan satu lagi kejayaan pada aksi suku akhir berkenaan.
"Saya masih percaya dengan barisan yang sama dan berharap mereka dapat memberikan aksi terbaik berdepan Gambia nanti.
"Bagaimanapun kali ini kami akan menampilkan penjaga gol yang ‘sebenar’ Andre Onana setelah posisi berkenaan seringkali dibarisi oleh pemain dari posisi lain.
"Ketika ini Onana dilaporkan berada pada prestasi terbaik dan begitu bersemangat untuk beraksi setelah tamat menjalani penggantungan selama sembilan bulan,” katanya.
Untuk rekod, Cameroon mara ke suku akhir setelah menewaskan Comoros 2-1 di Stadium Paul Biya, Olembe.
Mengulas lanjut, Conceicao berkata dia gembira kerana pemain tengah seperti Andre-Frank Zambo Anguissa serta Karl Toko Ekambili sudah tidak sabar untuk beraksi.
Sementara itu Conceicao turut berharap agar kecemerlangan dipamerkan Andre-Frank Zambo Anguissa akan berterusan ketika berdepan Gambia.
Malah katanya, Anguissa juga diharap untuk terus menjaringkan gol bagi menjamin kemenangan pasukan.
"Mungkin tidak keterlaluan untuk saya melabel Anguissa sebagai pemain tengah terbaik pada kejohanan kali ini dan diharapkan dia terus konsisten bagi membantu kemaraan pasukan lebih jauh,” katanya.