PENYERANG muda Manchester United, Amad Diallo melebarkan karier bola sepak apabila menyertai gergasi Liga Perdana Scotland, Rangers secara pinjaman sehingga hujung musim.
Pemain berusia 19 tahun itu menyertai The Red Devil pada Januari lalu daripada gergasi Serie A, Atalanta BC, kelab yang menyaksikan penampilan profesional pertamanya.
Iklan
Iklan
"Ia merupakan sesuatu yang amat fantastik kepada saya pada usia sebegini apabila dapat mengembangkan karier bola sepak.
"Rangers bukan satu nama baharu dalam bola sepak di Scotland dan antarabangsa, saya amat teruja untuk memanfaatkan peluang apabila bersama kelab sarat tradisi kejuaraan Scotland ini," kata Diallo.
Untuk rekod, Diallo telah membuat sembilan penampilan bersama skuad utama Manchester United, mencetak satu gol dan satu bantuan gol, namun hanya beraksi satu perlawanan untuk The Red Devils itu musim ini.
Rangers yang tidak tewas ketika menjulang kejuaraan liga Scotland musim lalu, berjaya menamatkan penguasaan sembilan tahun Celtic.
Untuk rekod, Rangers memimpin saingan liga dengan 55 mata selepas mengharungi 22 perlawanan, akan bertandang ke Ross County minggu ini.