JOHOR BAHRU - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan seorang lelaki dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai di sekitar daerah ini dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Abad, Kampung Ungku Mohsin di sini, pada Khamis.
Pegawai Pemerintahnya, Superitendan Dimin Awang berkata, penahanan suspek berusia 39 tahun itu turut membawa kepada penemuan dan rampasan 2,620 karton rokok disyaki tidak bercukai dianggarkan bernilai RM257,344.
"Suspek ditahan ketika sedang memandu keluar dari rumah tersebut menaiki kereta jenis Toyota Avanza yang mana hasil pemeriksaan dilakukan pada kenderaan itu telah menemui 15 kotak besar mengandungi mercun.
"Pemeriksaan lanjut dilakukan kemudiannya menemui sejumlah lagi barangan larangan berupa rokok tidak bercukai yang disembunyikan suspek dalam rumah berkenaan.
"Anggaran nilai rokok dirampas adalah sebanyak RM 257,344 dengan nilai cukai dilarikan bernilai RM 408,752 selain jumlah anggaran nilai rampasan mercun bernilai RM 12,400,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Dimin berkata, siasatan awal mendapati bekalan rokok tidak bercukai itu dipercayai untuk dijual di kedai-kedai runcit sekitar kawasan berkenaan.
"Kita percaya penahanan suspek dan kesemua bekalan yang dirampas ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Johor Bahru.
"Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya.