JOHOR BAHRU - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan untuk 'cermin diri' dahulu jika mahu berbicara mengenai maruah tidak mempunyai pendirian parti.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang menyifatkan bekas Perdana Menteri ke-8 itu juga tidak layak berbicara mengenai maruah dan integriti kerana melakukan perkara sama.
"Jangan bercakap soal maruah dengan saya, beliau (Muhyiddin) memancing sana-sini, macam-macam parti ketika berada di atas dan sekarang bercakap mengenai maruah.
"Cermin diri, jangan mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin menyifatkan tindakan Mazlan keluar dari Bersatu tidak menjejaskan persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, langkah berkenaan tidak memberi kesan apa-apa kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun terbubar selain mempertikai mana maruah bekas ADUN Puteri Wangsa itu kerana sebelum ini dilantik sebagai wakil rakyat Bersatu.
Pada Khamis, Mazlan dalam satu sidang media khas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Tebrau dan keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Bekas Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu berkata, selain beliau turut sama meletakkan jawatan adalah 23 lagi terdiri daripada ketua cawangan serta Ahli Jawatankuasa Bersatu Tebrau.
Dalam pada itu, Mazlan juga menasihatkan Muhyiddin untuk tidak bersifat angkuh selain memintanya untuk menghadapi kenyataan yang telah berlaku.
"Muhyiddin jangan angkuh, beliau buat macam-macam perkara dan akhirnya bersembunyi di sebalik watak tidak bersalah. Orang akan tahu bagaimana permainan yang beliau buat selama ini," katanya.