KUALA LUMPUR- Pembinaan Wisma Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah manifestasi sokongan jitu serta pengiktirafan kerajaan dan Kementerian Pertahanan (Mindef) terhadap kepentingan ATM sebagai perisai negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, wisma yang bernilai RM30 juta itu juga adalah tanda pengiktirafan kepada bintara yang menjadi tulang belakang ATM dalam memastikan maruah dan kedaulatan negara tidak tercela atau dibolosi musuh.
Ia sekali gus mendukung aspirasi Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Pembinaan Wisma Bintara ATM ini juga mendukung pelan yang digariskan oleh Mindef iaitu Pelan Strategik Mindef (PSM) serta Pelan Tindakan 2022 (PT 22), yang mana ia memberi penekanan terhadap aspek kebajikan para anggota ATM serta kakitangan awam Mindef.
"Rancangan pembinaan bangunan Wisma Bintara ATM yang baharu telah dicetuskan pada tahun 2015 bagi menampung peningkatan keperluan penginapan bagi pegawai tentera tidak tauliah (PTTK) yang bertugas di Kementerian Pertahanan.
"Upacara Majlis Pecah Tanah telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertempat di tapak lama Wisma Kementerian Pertahanan pada 27 September 2016 dan mula dibina pada 3 Julai 2017 serta telah siap dibina pada 28 Disember 2020.
"Kepimpinan tertinggi ATM, Mindef dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang banyak membantu menjayakan projek ini," katanya pada Majlis Perasmian Wisma Bintara ATM di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Mohd Zain dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek pembangunan Wisma Bintara ATM itu adalah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) LTAT yang sudi menyumbang sebanyak RM30 juta.
Ia mampu menyediakan keselesaan kepada anggota-anggota tentera bujang dan kahwin bujang dengan bilik penginapan yang selesa dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan moden, termasuk surau, dewan banquet, gelanggang sukan, gimnasium dan pelbagai lagi yang boleh dimanfaatkan 1,400 ahli.
"Pembinaan wisma yang setaraf hotel ini menyediakan 200 bilik penginapan yang selesa dengan 70 bilik jenis A dan A1 dikhaskan untuk Pegawai Waran setaraf manakala selebihnya 130 bilik diperuntukkan untuk penginapan PTTK berpangkat sarjan dan staf sarjan setaraf.
"Bayaran yang dikenakan juga sangat minimum iaitu RM50 sebulan bagi anggota yang menetap di situ manakala RM30 sehari bagi bayaran transit anggota dari luar.
"Dengan siapnya pembinaan Wisma Bintara ATM yang begitu selesa ini, ia mampu meningkatkan moral serta menjadi pemangkin yang akan melonjakkan profesionalisme dan keperkasaan ATM sebagai benteng utama pertahanan negara," jelasnya.