PUTRAJAYA- Cadangan untuk mengembalikan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai sebuah kementerian akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Udang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia selepas pihaknya selesai melakukan kajian lanjut dengan memperhalusi baik dan buruk cadangan tersebut.
"Draf cadangan sudah siap. Kita hanya menunggu masa sesuai untuk kemukakan kepada Ismail Sabri dan KSN terlebih dahulu," katanya.
Menurutnya, sekiranya Ismail Sabri dan Mohd Zuki bersetuju dengan cadangan tersebut, ia kemudiannya akan dibentangkan di kabinet.
"Proses ini akan memakan masa kerana melibatkan beberapa pindaan dan perubahan yang banyak khususnya dari segi sumber manusia dan kewangan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama perhimpunan bulanan jabatan itu, dekat sini pada Jumaat.
Beliau berkata, langkah (mengembalikan kementerian) itu adalah berasas kerana BHEUU mempunyai skop perkhidmatan yang amat luas selain mempunyai hampir 20 agensi di bawahnya.
"Kementerian ini akan menguruskan perkara- perkara berkaitan dalam Parlimen untuk dibawa kepada kerajaan," katanya.
Jelas Wan Junaidi, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab, kerajaan mempunyai banyak perkara yang perlu dilaksanakan di dalam Parlimen.
"Pada masa sama kita lihat transformasi yang dilaksana, pindaan rang undang-undang (RUU), peraturan dan pindaan kepada pelbagai banyak perkara.
Dalam keadaan sedemikian maka kementerian ini mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sangat besar ketika ini lebih dari apa yang kita lihat dahulu," katanya.
Kementerian Undang-undang diwujudkan pada tahun 1957 sebagai Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan sebelum ditukar nama kepada Kementerian Keadilan pada tahun 1959.
Pada tahun 1992, ia dijenamakan semula sebagai Kementerian Undang-undang sebelum dimansuhkan sepenuhnya dan dijadikan bahagian di JPM pada tahun 1995.