Peserta program Grow, PUM 2021 catat jualan lebih RM5 juta

Iklan
Penerima Anugerah Usahawan Terbaik Grow PKNS 2021 Kategori Sektor Peruncitan Mohamad Amir Awang (kiri) bersama dua lagi penerima, Nurhidayah Kamarulzaman bagi Kategori Sektor Pembuatan dan Muhamad Nuradzhar Mazlan bagi Sektor Perkhidmatan pada Majlis Graduasi Program Usahawan Siswazah (Grow) dan Program Usahawan Mahasiswa (PUM) PKNS Tahun 2021 di Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14 pada Jumaat. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Seramai 49 peserta Program Usahawan Siswazah (Grow) dan Program Usahawan Mahasiswa (PUM) 2021 berjaya mencatatkan jualan lebih RM5 juta dengan purata margin keuntungan sebanyak 15 peratus.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, 30 peserta Grow dan 19 peserta PUM itu terlibat secara berperingkat dalam program selama enam bulan sejak Jun tahun lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, biarpun kedua-dua program itu diadakan dalam tempoh pandemik Covid-19, kesemua peserta mampu menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari segi kemampuan mengembangkan perniagaan mereka.

"Saya percaya siswazah dan mahasiswa yang terlibat ini memiliki semangat keusahawanan tinggi, berdaya saing malah berani mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Grow dan PUM 2021 di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Datuk Mahmud Abbas.

Program Grow merupakan satu inisiatif PKNS yang dilaksanakan bagi membantu siswazah berusia 21 hingga 30 tahun mengendalikan perniagaan dari peringkat awal sehingga berjaya yang dilaksanakan bermula 2006.

Iklan

Peserta dibimbing melalui inkubator usahawan selama enam bulan membabitkan maklumat berkaitan bidang perniagaan serta konsep pembelajaran melalui pengalaman usahawan berjaya.

Program PUM pula anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS dengan kerjasama kerajaan Selangor yang memfokuskan mahasiswa tahun akhir institusi pengajian awam dan swasta dan meliputi kursus secara dalam talian selama enam bulan merangkumi modul asas keusahawanan.

Dalam pada itu, Mahmud berkata, pelaksanaan kedua-dua program tersebut merupakan antara inisiatif pihaknya dalam mendidik dan membimbing usahawan berniaga dengan kaedah yang tepat.

Menurutnya, ini termasuk membantu peserta sehingga ada yang dapat mengeksport produk jualan ke luar negara.

Sementara itu, peserta Grow, Mohamad Amir Awang, 29, menyifatkan teknik pemasaran produk dan jenama yang tepat sebagai antara elemen penting diterapkan dalam program itu yang dapat membantu meningkatkan keuntungan jualan.

"Sewaktu menyertai Grow, jumlah jualan yang saya catatkan amat minimum kerana baru sahaja memperkenalkan produk baharu iaitu serbuk lemak baik daripada sumber kelapa dara. Produk lama gam Arab pula tidak dapat dijual berikutan bekalan stok dari Sudan terputus susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

"Namun, apabila saya menyertai program ini, jualan bulanan produk baharu meningkat kepada RM30,000 hingga RM40,000 bermula Jun 2021 dengan memanfaatkan latihan dan kepakaran disediakan oleh Grow,” katanya yang dinobatkan sebagai Usahawan Grow Terbaik PKNS 2021 bagi sektor peruncitan.