JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Simpang Renggam akan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu akan dikemukakan kepada pimpinan parti dan sekiranya dibenarkan mana-mana calon yang dipilih akan menggunakan logo sama.
Katanya, ia juga bagi mengelakkan sebarang kekeliruan ketika pengundian dibuat selain menyifatkan logo PKR lebih signifikan dan dikenali oleh pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.
"Perkara ini kita serahkan kepada pimpinan cuma kami PH Simpang Renggam akan mengemukakan logo PKR untuk digunakan parti untuk bertanding bagi kerusi DUN Layang-Layang dan DUN Machap.
"Ia tidak kira sama ada calon-calon itu daripada parti komponen lain sama ada dari Parti Amanah Negara (Amanah) atau DAP, kita bersepakat untuk gunakan logo PKR.
"Ini kerana berdasarkan tinjauan dibuat, logo PKR ini lebih dikenali. Ia juga membawa makna besar kepada PH kerana dengan logo ini kita berjaya menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PH N26 dan N27 di Pejabat Keadilan Cabang Simpang Renggam di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan PKR selaku salah satu komponen dalam PH akan menggunakan logonya sendiri pada PRN Johor sementara Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH.
Dalam kenyataan sama, keputusan itu juga dibuat selepas mesyuarat khas pimpinan PH bagi membincangkan persediaan parti bagi menghadapi PRN Johor.
Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima kata putus dan keputusan pimpinan berkenaan calon yang bakal bertanding di kedua-dua DUN dalam parlimen berkenaan.
"Kita tidak mempunyai makluman, tetapi ingin saya fokuskan di sini, tidak kira daripada parti mana kita akan bekerjasama dan jentera juga telah bersedia untuk digerakkan.
"Setakat ini semua 26 pusat daerah mengundi (PDM) dalam Parlimen Simpang Renggam juga telah dibuka yang mana 14 daripadanya di Machap dan 12 di Layang-Layang,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai moral jentera di peringkat cabang selepas dua siri PRN yang menyaksikan calon PKR gagal merebut sebarang kerusi, Maszlee berkata, perkara itu adalah berlainan kerana sentimen di kedua-dua negeri sebelum ini adalah berbeza.
"Macam saya cakap, Melaka lain, Sarawak lain, kita di Johor ada dokongannya dan semestinya jentera kita tidak mudah untuk mengalah malah mereka juga bersemangat untuk berdepan PRN kali ini,” katanya.