Nombor plat khas UMP 'UC' dibuka untuk bidaan 1 Februari depan

Iklan
Dr Abdul Aziz (empat dari kanan) menerima nombor khas plat UC dalam majlis penyerahan yang berlangsung di UMP Gambang di sini pada Jumaat.

KUANTAN- Nombor pendaftaran plat khas Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan dibuka untuk bidaan bermula 1 hingga 14 Februari depan.

Proses bidaan plat khas 'UC 1 hingga UC 9999' ' itu akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal.

Iklan
Iklan

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pelajar dan staf UMP turut berpeluang mendapat plat khas itu dengan harga istimewa selepas tawaran dibuka untuk mereka mulai 25 Februari depan.

Menurut, penjualan siri nombor pendaftaran tersebut dijangka mampu mencecah sehingga RM3.5 juta bagi fasa pertama dengan proses bidaan dikendalikan syarikat dilantik, Aquatwo Sdn. Bhd.

Iklan

"Pemilihan nombor pendaftaran UC ini kerana ia mempunyai keunikan tersendiri.

"Kombinasi kedua huruf UC ini diambil bagi mewakili huruf U yang merupakan awalan perkataan UMP manakala C merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri ini yang juga identiti negeri Pahang,” katanya pada majlis penyerahan nombor plat khas UC di UMP Gambang di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Pengarah Urusan Aquatwo Sdn Bhd, Datin Nabiha Mustapha.

Dr Abdul Aziz berkata, keputusan penjualan nombor plat khas itu susulan hasrat dan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan semua universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri.

"Ia juga sebahagian usaha Yayasan UMP untuk meningkatkan sumber pendapatan.

"Hasil daripada usaha ini akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan," katanya.

Bagi yang berminat boleh melayari laman sesawang http://www.ucplat.com.my bagi mengikuti perkembangan proses bidaan nombor pendaftaran UC ini nanti bermula 1 hingga 14 Februari 2022.

Nombor UC ini boleh didaftarkan bermula 1 Mac 2022 sehingga Oktober 2024.