SHAH ALAM - Rata-rata ibu bapa bersetuju untuk membenarkan anak-anak mereka terutama di bawah usia 13 tahun untuk menggunakan telefon pintar, namun perlu pengawasan ketat daripada mereka yang lebih berusia.
Jawapan yang diberikan kepada wartawan itu disebabkan kekhuatiran mereka tatkala anak-anak menggunakan khidmat internet tanpa pemantauan sekali gus mampu cenderung ke arah menonton pornografi, kemudian mencetuskan ketagihan di usia muda.
Peniaga, Siti Rahayu Abd Rashid, 32, berkata, dia sentiasa mengawasi secara ketat terhadap anaknya semasa menggunakan telefon bimbit dan melarang untuk memilikinya secara sendiri.
Menurutnya, ia kerana apabila tiada pengawasan, sebarang iklan mahupun kandungan yang ditonton oleh anak-anak tiada sekatan dan risau akan terjebak terhadap perkara negatif.
"Untuk tempoh ini, anak-anak memang perlu untuk didedahkan dengan gajet kerana ia seiring dengan perubahan masa. Seperti anak saya, dia banyak belajar melalui YouTube. Perkembangan lebih cepat dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak melihat telefon bimbit.
"Namun, untuk mempunyai telefon sendiri, saya tidak bersetuju. Perlukan pengawasan ketat daripada ibu bapa kerana ada animasi yang berunsur porno. Seharusnya ibu bapa pilih kartun yang sesuai untuk anak-anak.
"Kalau tidak mampu untuk kawal masa anak dengan telefon bimbit, lebih baik jangan bagi anak memiliki telefon bimbit sendiri. Risau perkara negatif yang timbul,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Bagi pekerja swasta, Nulhusin Abdul Pilih, 37, apabila tiada pemantauan daripada ibu bapa, perkara tersebut akan menjadi penyebab kepada kanak-kanak mula terjebak terhadap kegiatan tersebut.
Menurutnya, perkara tersebut telah berleluasa di dalam internet dan menjadikan setiap perkara yang diakses oleh anak-anak memerlukan pemantauan yang sangat ketat.
"Walaupun buka untuk belajar, tapi ada terselit perkara tidak elok. Mula-mula tengok tidak faham. Lama-kelamaan mereka akan rasa seronok. Bila seronok, akan jadi ketagih dan mula sembunyi daripada ibu dan ayah.
"Gajet tidak semestinya kena ada. Sekarang tidak macam dulu sebab sudah banyak unsur tidak elok. Tanpa pengawasan, ia akan susah. Kena tengok anak-anak dengan lebih berhati-hati. Kita tidak mahu mereka terjebak dengan perkara ini,” ujarnya.
Penjawat awam, Nur Farhana Mohd Azman, 30, pula berkata, ibu bapa disaran melayari YouTube Kids yang dikhususkan untuk kanak-kanak.
"Saya sudah memberi gajet kepada anak-anak sejak mereka berusia setahun lagi. Bagaimanapun, saya akan buka saluran khusus buat kanak-kanak yang tiada unsur-unsur pornografi," katanya.
Pekerja swasta, Muhammad Zaki Hadeni, 32, menegaskan agar ibu bapa mengehadkan masa penggunaan gajet terhadap anak-anak agar tidak disalah guna.
"Gajet banyak keburukan. Kita memang kena sentiasa pantau. Kalau boleh yang bawah umur lima tahun tidak perlu bagi gajet kepada mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Pembantu Penyelidik, Siti Zaiton Mohd Aziz, 38, berkata, selain memberikan gajet, ibu bapa disaran untuk meluangkan masa bersama dengan perkara-perkara yang mendatangkan faedah dan merapatkan hubungan kekeluargaan.
"Saya tidak setuju budak bawah 12 tahun diberikan gajet. Sebab akses kepada internet sekarang sangat mudah. Ia akan mendatangkan kesan buruk kepada anak-anak,” katanya.