Saran pendidikan privasi kepada anak-anak

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Fauziah)

SHAH ALAM - Ibu bapa seharusnya memberikan pendidikan privasi kepada anak-anak seawal umur sembilan tahun bagi pendedahan awal terhadap batas tindakan yang boleh atau tidak boleh dilakukan.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, perkara tersebut mampu mencegah kanak-kanak yang berusia 13 tahun ke bawah terlibat dengan menonton pornografi.

Iklan
Iklan

Jelasnya, antara yang boleh dilakukan adalah mengajar mengenai perkembangan diri, perubahan fizikal, adab antara lelaki dan wanita.

"Beri penekanan kepada pendidikan privasi kepada anak-anak. Kena ajar anak-anak tentang perkembangan diri, perubahan fizikal. Adab antara lelaki perempuan. Terapkan nilai antara lelaki perempuan tidak boleh bersentuhan. Adab berpakaian.

Iklan

"Ibu bapa perlu selalu lakukan pemantauan kepada anak-anak. Dapatkan semua kata laluan media sosial mereka. Ia juga tindakan yang boleh dilakukan,” katanya.

Berdasarkan sudut psikologi, beliau berkata, melalui pembelajaran tingkah laku, kanak-kanak akan meneroka setiap perkara yang dilihat dan berkemungkinan akan melakukan perkara tersebut.

Iklan

"Sekarang pun kita tahu, banyak remaja hamil luar nikah. Kita tidak mahu di peringkat muda lagi sudah aktif seksual.

"Ada pelanggan saya yang umur 13 tahun tidak dara lagi. Jadi, benda itu disebabkan sosial media.

"Mereka sekarang di peringkat untuk cuba benda baharu. Kemudian bila melaksanakan, dia terperangkap dan ketagih seks,” ujarnya.

Kata Fauziah, tindakan menonton pornografi seawal usia kanak-kanak adalah perkara tidak mustahil memandangkan mereka didedahkan dengan gajet.

Akuinya, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), medium berinteraksi hanya menerusi telefon pintar dan ia memberi ruang kanak-kanak menceburi perkara tersebut.

"Tambahan pula ibu bapa sibuk bekerja.

"Ibu bapa kena luangkan masa dengan anak-anak,” ujarnya.