SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor manakala Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Muhammad sebagai ketua penyelarasnya.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, lantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang pada malam Jumaat.
Iklan
Iklan
"Mesyuarat sebulat suara bersetuju (atas lantikan ini) bagi memperkukuhkan jentera BN dan bergerak atas lambang BN secara bersama.
"Mesyuarat juga turut menegaskan kebulatan tekad seluruh pimpinan parti komponen untuk terus mempertahankan dan mengemaskini kedudukan BN yang menjadi wadah politik negara selama ini," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN.
Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni yang sebelum ini penyandang Menteri Besar Johor hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula 27 kerusi daripada 56 DUN.