JBPM Selangor sedia hadapi cuaca tidak menentu

Iklan
JBPM Selangor bersedia menghadapi bencana ribut dan hujan lebat yang diramalkan berlaku menjelang perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan. (Gambar kecil: Norazam)

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersedia menghadapi bencana ribut dan hujan lebat yang diramalkan berlaku menjelang perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, fenomena yang berlaku kali ini lebih kerap dan teruk berbanding tahun lalu.

Iklan
Iklan

Oleh itu, pihaknya akan turun padang meronda kawasan yang kerap dinaiki air dan lokasi titik panas lain apabila hujan turun.

"Kita akan bersiap sedia di balai bomba dan akan buat rondaan di kawasan yang sering dilanda banjir apabila hujan turun.

Iklan

"Macam pokok tumbang ini kita tidak boleh nak jangka ia berlaku,tapi kita akan buat rondaan apabila hujan turun," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norazam berkata, pihaknya akan turut bekerjasama dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) lain untuk pemantauan dan sebarang misi menyelamat sekiranya banyak lokaliti bencana dikesan dalam waktu sama.

Iklan

Ujarnya, selain BBP berdekatan, agensi-agensi lain seperti Anggota Pertahanan Malaysia (APM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Skuad Pantas akan turut membantu sekiranya berlaku kekurangan anggota bertugas.

"Kekurangan anggota akan berlaku bila banyak kawasan dilanda bencana dalam satu masa yang sama.

"Jadi kita akan meminta kerjasama daripada BBP lain serta agensi lain seperti PBT menerusi Skuad Pantas masing-masing dan APM," katanya.

Pada Jumaat, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan terutamanya pada sebelah petang akan berlaku di beberapa negeri menjelang perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi MetMalaysia, Lim Ze Hui berkata, ribut petir dan hujan pada sebelah petang itu dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Sabah dan Sarawak.