KOTA BHARU - Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memberi jaminan bekalan air terawat di negeri ini mencukupi sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa dan Rabu ini.
Pengurus Besar AKSB, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed berkata, sebagai persediaan kesemua Loji Rawatan Air (LRA) dibawah seliaan agensi berkenaan akan beroperasi pada kapasiti maksimum dengan jumlah pengeluaran air melebihi 500 juta liter sehari (JLH).
"Kerja penyelenggaraan di LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat dihentikan buat sementara waktu bagi memastikan bekalan sentiasa cukup," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu AKSB menyediakan lebih 450 tangki statik di lokasi-lokasi strategik bagi membolehkan pengguna mendapatkan bekalan jika berlaku gangguan.
Beliau berkata, sebanyak sembilan buah lori tangki milik AKSB dan 30 lori air kontrak (LAK) akan digerakkan ke lokasi yang terjejas.
Azuhan berkata, AKSB berharap agar semua pelanggan dapat menggunakan air secara berhemah.
"Jika ada berlaku kebocoran boleh hubungi Unit Hal Ehwal Pelanggan AKSB (PINTAS) di talian 15777 bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.
"Selain itu, kami turut menerima aduan menerusi aplikasi WhatsApp di 019-5755777; e-mail ke pintas@airkelantan.com.my atau muat turun applikasi MyAKSB untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan AKSB," katanya.
Menurutnya, unit pembaikian paip; unit mekanikal dan elektrikal AKSB di seluruh jajahan sentiasa dalam keadaan tunggu untuk menghadapi sebarang kejadian diluar jangka seperti insiden paip pecah dan kerosakan pam.