SHAH ALAM - Kumpulan Multimedia bersama maskot harimau Uhuu dan artis mengadakan lawatan amal ke beberapa rumah warga emas dan anak-anak yatim di Klang, baru-baru ini bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang.
Pengarah Urusannya, Datuk Steven Lim Boon Siong berkata, lawatan amal diadakan di Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Chik Sin Thong Klang dan Pantai, Persatuan Jagaan Kanak-Kanak Ekliptik Klang dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih.
Menurutnya, lawatan tersebut turut dimeriahkan bersama pengarah filem Teng Bee dan barisan artis Joey leong, JieYing dan Jonathan Lee yang mempersembahkan beberapa lagu, termasuk lagu Tahun Baharu Cina, selain sumbangan keperluan makanan dan angpau.
"Tahun ini, hasrat kami membantu golongan memerlukan sempena peraayan ini dapat dilaksanakan dan kali ini, kami membawa maskot harimau Uhuu bertemu dengan penghuni-penghuni rumah warga emas dan anak-anak yatim.
"Diharapkan kunjungan kami menaikkan semangat dan menyerikan sambutan Tahun Baharu Cina mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Steven berkata, lawatan amal tersebut bagi memberi kekuatan kepada kakitangan Kumpulan Multimedia serta semua pihak terlibat supaya tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan pada pandemik ini.
"Tahun ini adalah tahun Harimau Air yang memberi signifikasi istimewa kerana ia melambangkan harimau Malaya yang semakin terancam di negara ini. Haiwan ini melambangkan keberanian, integriti serta perpaduan.
"Oleh itu, bersama-sama kita semua berganding bahu supaya rakyat dan negara ini mencapai kemakmuran,” katanya.
Turut memeriahkan lawatan amal tersebut adalah Pengurus Besar Kumpulan Multimedia, Datin Vince Chin, Pengarah syarikat Lim Boon Han dan juga rakan-rakan kongsinya.