KOTA BHARU - Kluster dalam kelompok institusi pendidikan terus mencetuskan peningkatan kes Covid-19 di negeri Kelantan, dengan 26 kluster direkodkan sejak 1 Januari hingga Jumaat.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dua kluster baharu institusi pendidikan dilaporkan semalam merangkumi Kluster Kampung Gemang Lama yang membabitkan warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli dan Kluster Jalan Cherodok yakni melibatkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Al-Khalifah di Machang.
Iklan
Iklan
Katanya, sehingga Jumaat, lebih 800 pelajar dan kakitangan sekolah di negeri ini yang dijangkiti Covid-19 dengan kategori klinikal tahap satu dan dua, sedang menerima rawatan sama ada di hospital, pusat kuarantin atau menjalani isolasi di rumah.
"Rata-rata mereka mendapat jangkitan ketika berada di asrama sekolah dan pihak kami telah mengambil tindakan segera untuk membendung penularan wabak ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, bilangan tertinggi bagi kluster institusi pendidikan dicatatkan di jajahan Kota Bharu iaitu 10 kluster, diikuti Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh masing-masing tiga kluster; Pasir Mas dan Tumpat (dua) serta masing-masing satu di Jeli, Machang dan Tanah Merah.
Selain kluster pendidikan, Dr Zaini berkata, tiga kluster lain yang turut menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di Kelantan adalah kluster tempat kerja yang merekodkan tujuh kluster, kluster komuniti (enam) dan satu kluster golongan berisiko tinggi.
"Jumlah keseluruhan kluster yang direkodkan di negeri ini adalah 40 kluster setakat 28 Januari. Kita jangka peningkatan ini berterusan semasa cuti sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari ini kerana terdapat pergerakan keluar dan masuk di negeri ini dalam tempoh berkenaan," katanya. - Bernama