WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Jumaat berkata beliau akan menghantar tentera Amerika ke Eropah Timur dan negara-negara NATO, beberapa hari selepas Pentagon menempatkan beribu-ribu tentera dalam keadaan berjaga-jaga di tengah-tengah ketegangan antara Rusia dan Ukraine, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Saya akan memindahkan tentera AS ke Eropah Timur dan negara NATO dalam tempoh terdekat. Tidak banyak," kata Biden kepada pemberita di Pangkalan Bersama Andrew selepas lawatannya ke Pittsburg, Pennsylvania.
Kenyataan Biden dibuat empat hari selepas Pentagon berkata 8,500 tentera berada dalam keadaan siapsaga di AS sekiranya NATO mengaktifkan Pasukan Tindak Balasnya atau jika keadaan keselamatan di Eropah semakin merosot.
Jurucakap Jabatan Pertahanan John Kirby berkata, pasukan tentera terutamanya tentera darat boleh membawa pelbagai kelengkapannya ke lokasi di Eropah jika diperlukan, termasuk kemudahan logistik, perubatan, penerbangan, perisikan, pengawasan dan peninjauan serta pengangkutan.
Keputusan untuk meletakkan pasukan dalam keadaan siapsaga dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Eropah Timur ketika Barat dan NATO menuduh Rusia sedang bersiap untuk menyerang Ukraine.
Rusia mengumpulkan lebih 120,000 anggota tentera di sempadannya dengan bekas republik Soviet itu serta meletakkan banyak kereta kebal dan meriam di lokasi itu.
Tindakan serupa turut dilihat di Belarus, berhampiran utara Ukraine.
Dalam kedua-dua kes, Rusia menafikan ia sedang bersedia untuk menyerang dan sebaliknya berkata ia mengekalkan pasukannya di sana sebagai latihan biasa ketenteraan. - Bernama