KUALA TERENGGANU - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menegaskan parti itu tidak pernah menawarkan diri atau berbincang untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, perkara itu tidak termasuk dalam agenda perbincangan di peringkat parti memandangkan banyak pengalaman yang dijadikan iktibar hasil jalinan kerjasama bersama Pas sebelum ini.
"Pas ini, dia akan berubah setiap minggu. Minggu depan kita tidak tahu dia hendak kata apa pula. Macam saya sebut tadi, tidak ada DAP. Dulu tiada UMNO, sekarang UMNO apa? Sahabatku.
"Pemimpin macam ini susah kita hendak pegang, setiap minggu berubah. Kita tidak boleh pegang apa yang dia hendak cakap," katanya ketika sidang akhbar selepas Ceramah Isu Semasa - Kerajaan Lemah Tiada Integriti di sini pada malam Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad pada Selasa yang memberitahu Pas akan bekerjasama dengan Amanah jika parti itu meninggalkan DAP.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerjasama Pakatan Harapan (PH) bersama parti lain dalam PRN Johor akan dimuktamadkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini.
Katanya, buat masa ini rundingan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan) masih berjalan.
"Minggu ini, kita akan bincangkan lagi adakah mereka (parti lain) mahu bertanding sendiri atau bersama PH,” katanya.
PH sebelum ini bersetuju memberikan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kepada Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala baki 16 kerusi lagi milik DAP, namun perbincangan mengenainya masih dilakukan.
Sementara itu, Mohamad berkata, PH belum berbincang mengenai calon Menteri Besar Johor walaupun timbul khabar angin kononnya Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik bakal dilantik sekiranya pembangkang menang dalam PRN berkenaan.
"Belum dibincangkan lagi. Saya tidak bertanding di DUN Johor, kalau saya yang bertanding, sayalah calon (Menteri Besar),” ujarnya secara berseloroh.