KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam sebagai satu bentuk intimidasi.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau difahamkan bahawa SPRM turut menyoal siasat beberapa pegawai di Kementerian Pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya.
"Saya perlu bawa kepada perhatian umum dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa saya sedang diintimidasi oleh pegawai SPRM di Simpang Renggam. Untuk apakah ini?
"Mereka juga melakukan intimidasi terhadap orang yang pernah membantu saya," katanya kepada media selepas selesai dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Sabtu.
Maszlee hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen di sini 20 Januari lalu.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, lebih ramai Ahli Parlimen akan dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung penyerahan memorandum tersebut.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata beliau tidak menyangka tindakannya yang hadir semasa penyerahan memorandum tersebut mengakibatkan dirinya dipanggil polis untuk disoal siasat.
"Sebagai wakil rakyat saya telah turun untuk mendegar keluh kesah yang mereka suarakan dan kita tidak tahu pula bahawa orang yang menyaksikan penyerahan memo rakyat kepada Ahli Parlimen juga akan disoal siasat.
"Persoalan kita adalah mengapa subjek yang disebut itu sehingga kini adakah sudah disoal siasat?," soalnya.