KUALA LUMPUR - Kesukaran mendapatkan telur ayam di Kerian, Perak menyebabkan seorang wanita terpaksa membeli stok bahan asas itu di Wangsa Maju untuk dibawa pulang ke kampung.
Farazira Yusof, 45, berkata, ibunya di Kerian memberitahu telah terputus bekalan telur ayam sejak seminggu lalu dan situasi itu pertama kali berlaku di daerah itu sepanjang 79 tahun ibunya tinggal di sana
"Kejadian ini memang pelik sebab tak pernah alami situasi seperti itu sebelum ini. Ibu saya beritahu sudah merata mencari telur ayam sejak seminggu lalu namun kebanyakan kedai habis stok.
" Memandangkan saya mahu pulang ke kampung pada hari ini (Sabtu), ibu pesan suruh bawa balik telur untuk stok makanan memandangkan adik-beradik lain juga pulang bercuti," kongsinya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Farazira ditemui ketika Sinar Harian membuat tinjauan bekalan telur ayam di sekitar Lembah Klang.
Tinjauan mendapati kebanyakan pasar raya dan kedai serbaneka mempunyai bekalan telur ayam mencukupi dan rata-rata pengguna yang ditemui mengesahkan tiada masalah mendapatkan stok tersebut.
Seorang pengguna, Norhidayah Yahya, 33 memaklumkan, tidak berdepan kehabisan stok apabila bekalan telur ayam mudah didapati di mana-mana premis sekitar Wangsa Maju.
"Saya pergi pasar raya atau pasar mini sentiasa ada bekalan dan harganya juga seperti biasa tiada kenaikan mendadak," katanya.
Perkara sama diakui seorang suri rumah, Zainah Abdul Malik, 35 yang memaklumkan setakat ini tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan itu di Gombak.
Seorang lagi pengguna, Azhar Mhd Sapinyi, 43 dari Setapak Indah berkata, stok makanan mudah didapati di Lembah Klang namun berdepan masalah harga barangan yang mahal.
Dia berharap isu itu dipandang serius oleh kerajaan kerana kenaikan harga barang membebankan pengguna khususnya mereka yang berpendapatan rendah dah sederhana.
"Barang memang senang dapat tapi harga ayam, ikan dan minyak masak naik mendadak. Isu ini tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia adalah negara pengeluar makanan.
"Kerajaan perlu tegas dan bela rakyat, saya dapati harga barangan dikawal oleh pengeluar untuk menekan pengguna dan mengaut keuntungan, jadi kerajaan perlu atasi masalah tersebut," katanya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa negeri menghadapi kekurangan bekalan telur ayam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah pada Khamis berkata, keadaan cuaca tidak menentu antara faktor kurangnya penghasilan dan pengeluaran telur ayam dalam negara.
Jelasnya, faktor berkenaan bukan sahaja mempengaruhi pengeluaran sektor pertanian, malah haiwan ternakan dan perikanan.
Selain itu katanya, kejadian banjir serta peningkatan harga bekalan makanan ayam yang diimport dari luar negara turut mempengaruhi kekurangan pengeluaran telur.