PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan melakukan lawatan kerja selama lima hari ke Argentina mulai esok hingga 22 Mac.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Saifuddin akan menyertai Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Peringkat-Tinggi Kedua mengenai Kerjasama Selatan-Selatan (Persidangan BAPA + 40) yang akan diadakan di Buenos Aires.
Semasa lawatan itu, Menteri Luar juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Argentina, Mauricio Macri di Pejabat Presiden berkenaan, Casa Rosada, dan mengadakan Rundingan Dua Hala dengan Menteri Hal Ehwal Luar Argentina, Jorge Faurie pada Selasa.
"Kedua-dua Menteri Luar berkenaan akan berbincang isu berhubung kepentingan bersama mengenai hubungan serantau dan agenda antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Malaysia dan Argentina akan terus berbincang sebelum memorandum persefahaman dengan harapan mencapai satu persetujuan segera.
Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Argentina menikmati hubungan baik dan kedua-dua pihak akan berbincang cara untuk mengukuh dan memperluas lagi hubungan.
Saifuddin akan memberi taklimat mengenai"Dasar Luar Malaysia di bawah Kerajaan Baru dan Dasarnya Terhadap Amerika Latin” pada satu Majlis Argentina bagi Hubungan Antarabangsa (CARI), mengutarakan hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Latin.
Menurut Wisma Putra, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah AS$1.34 billion pada 2018 dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa terdapat banyak peluang sedia ada untuk diperluaskan terutama dalam bioteknologi agro-industri dan kerjasama dalam industri halal.
PETRONAS pula merancang melabur AS$2.3 billion untuk empat tahun akan datang dengan menjalin kerjasama bersama Yacimientos Petrolíferos Fiscales (YPF) bagi membangunkan minyak bukan konvensional di Argentina, menurut Wisma Putra. - Bernama