ALOR SETAR - Petani di Kedah tidak menghadapi masalah tanaman padi terbantut akibat bendang menjadi kering kontang susulan kemarau ketika ini seperti berlaku di Kelantan.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Muhammad Fuad Yaacob berkata, setakat ini, dia tidak menerima aduan atau rungutan daripada pesawah berhubung keadaan sawah padi yang kering kontang.
Muhammad Fuad berkata, bekalan air di tiga empangan di Kedah tahun ini stabil sekali gus bekalan air diterima diyakini mencukupi untuk menampung keperluan musim 2/2021 penanaman padi.
"Bekalan air sedia ada dibekalkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengikut kawasan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing dan ia mencukupi.
"Bagi mana-mana kawasan yang menerima bekalan air mencukupi, ia akan dihentikan, manakala tempoh pembelan air akan dilanjutkan di kawasan tidak cukup bekalan air," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu mengenai sama ada petani di Kedah menghadapi situasi seperti pesawah di Kelantan yang berdepan kerugian lebih RM800,000 akibat kemarau.
"Sekarang musim panas di Kedah tetapi paras air di empangan Pedu, Ahning dan Muda dalam keadaan stabil," katanya.
Seorang pesawah Rafirdaus Abu Bakar, 45, berkata, bekalan air di sawah padi sekitar kawasan Megat Dewa dan Kerpan berjalan lancar.
"Bekalan air seperti biasa di kawasan MADA. Kami tidak risau terhadap bekalan air kerana ia mengikut jadual penanaman padi musim 2/2021 untuk pesawah,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, bekalan air untuk pesawah di kawasan berkenaan akan dibekalkan sehingga 15 Februari depan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan MADA memberi jaminan kepada pesawah bahawa bekalan air mencukupi untuk penanaman padi pada musim 1/2022 dijangka pada April depan.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, takungan air bagi ketiga-tiga empangan di bawah MADA didapati berada pada paras selesa walaupun cuaca panas.
Katanya, MADA mendapati kedudukan takungan Empangan Pedu ketika ini adalah sebanyak 84 peratus; Empangan Muda (90 peratus) dan Empangan Ahning (93 peratus).