JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dengan keadaan ekonomi pada masa kini.
Menurutnya, tumpuan seharusnya terhadap isu-isu rakyat terutama mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup.
"Sudah hampir setahun. Disebalik meletakkan keutamaan dalam menunaikan janji-janji serta berusaha meningkatkan ekonomi negara, anda masih sibuk mensabotaj antara satu sama lain dan cuba untuk membina kereta terbang.
"Keutamaan kerajaan sepatutnya adalah penyelesaian masalah mata pencarian (periuk nasi) yang dihadapi oleh rakyat dengan keadaan ekonomi sekarang ini.
"Fokus kepada isu-isu rakyat terlebih dahulu terutamanya mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya seperti yang dipetik dari Facebook rasminya HRH Crown Prince of Johor di sini hari ini.
Tunku Ismail mahu pihak tersebut memberi perhatian kepada usaha memperbaiki ekonomi, dan bukan sahaja bercakap mengenainya.
"Terutamanya bagaimana untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
"Saya terganggu dengan keadaan semasa di negara ini dan kita perlu bersatu sebagai satu negara untuk memperbaikinya.
"Kita harus memberi keutamaan kepada rakyat,” katanya.