KUANTAN - Seramai 92 pekerja di Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) di Gebeng keracunan makanan selepas menikmati makanan di kantin, pada Sabtu.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, seramai 68 orang mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, empat orang di rawat di Hospital Pakar KPJ, 13 orang di Kuantan Medical Centre manakala tujuh lagi hanya mengalami gejala ringan.
"Daripada 85 orang yang memerlukan rawatan, sebanyak 72 orang dirawat sebagai pesakit luar dan 13 lagi telah dimasukkan ke wad.
"Bagaimanapun, kesemua mereka berada dalam keadaan stabil dan kebanyakan kes mengalami gejala muntah, sakit perut, loya atau mual dan cirit-birit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dr Nor Azimi berkata, punca keracunan makanan masih dalam siasatan dan kantin MCKIP telah ditutup selama 14 hari di bawah Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Notis kesalahan di bawah peraturan 34 (1), Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 bernilai RM1,000 telah dikeluarkan kerana gagal mengekalkan premis dalam keadaan bersih," katanya.