BARU-baru ini kita digemparkan dengan berita seorang remaja dihukum oleh pihak pengurusan sebuah masjid kerana ditangkap mencuri duit tabung masjid.
Video remaja berkenaan dimandikan seperti ‘jenazah’ menimbulkan pelbagai polemik hingga menjadi perdebatan di kalangan netizen.
Pelbagai pendapat dilontarkan oleh netizen ini termasuk ada yang menyokong tindakan pihak masjid, tidak kurang juga yang mengecam tindakan tersebut kerana dianggap melampau.
Pada 16 Januari lalu, satu lagi kes berlaku apabila seorang anak bertindak kejam memenggal kepala ibu kandungnya sehingga maut di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Apa yang menjadi persamaan kepada dua insiden ini adalah selepas disiasat pelakunya terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Kisah membabitkan dadah tidak terhenti setakat itu, kita dikejutkan sekali lagi dengan penahanan seorang wakil rakyat di sebuah kelab malam dan hasil keputusan ujian air kencing pertama menunjukkan beliau positif dadah.
Malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri mengakui aktiviti penyeludupan dadah di sempadan negara semakin meningkat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kes penyeludupan membabitkan negara jiran bukan perkara baharu dan ia sentiasa dipantau pihak berkuasa.
Ini bermaksud bekalan dadah di negara ini perlu sentiasa ada kerana permintaannya cukup tinggi.
Setiap kali operasi polis, nilai sitaan dadah yang diperoleh begitu luar biasa.
Buktinya dalam ‘Ops Tapis’ minggu lalu, dua remaja berusia 13 tahun merupakan antara 5,200 penagih serta tokan dadah yang berjaya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Op Tapis Khas yang dijalankan 2,696 pegawai JSJN Bukit Aman dan semua kontinjen itu turut berjaya merampas 212.6 kilogram dan 1,199.2 liter pelbagai jenis dadah.