PENGENDALI Cameroon, Toni Conceiçao berpuas hati dengan kemaraan skuad kendaliannya itu ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika 2022 (AFCON 2022) setelah menewaskan Gambia 2-0, dalam suku akhir di Stadium Japoma, Duoala, pada Ahad.
Menurut Conceicao, kesemua pemain telah mematuhi percaturan taktikal pasukan sehingga berjaya mendominasi sebahagian besar perlawanan di hadapan ribuan penyokong sendiri.
"Saya berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan kesebelasan pemain dan ternyata mereka telah mematuhi segala arahan dan percaturan yang telah diatur bagi memenangi perlawanan.
"Walaupun beberapa peluang gagal disempurnakan jentera serangan terutamanya pada babak pertama, namun ia (kesilapan), berjaya ditebus pada babak kedua dengan dua gol yang cukup bermakna.
"Selain itu, secara keseluruhannya, saya juga kagum menyaksikan keseimbangan yang dipamerkan jentera serangan serta benteng pertahanan pasukan di sepanjang tempoh perlawanan berlangsung,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi suku akhir berkenaan, penyerang Karl Toko Ekambi muncul wira Cameroon apabila menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-50 sebelum mudah menolak masuk gol kedua pada minit ke-57 bagi memastikan bagi memastikan kemaraan skuad The Indomitable Lions itu ke separuh akhir.
Aksi cemerlang Toko Ekambi pada perlawanan berkenaan turut menyaksikannya dipilih selaku pemain terbaik perlawanan.
Sementara itu Conceicao berharap agar kesemua pemain perlu kembali cergas dan sempat pulih daripada kecederaan bagi menjelang aksi separuh akhir.
Katanya, dalam masa sama, pihaknya juga akan segera membuat analisis mengenai lawan yang bakal ditemui pada aksi separuh akhir nanti.
"Situasi semasa pemain menjelang aksi separuh akhir nanti menjadi kebimbangan utama saya ketika ini.
"Oleh itu, diharapkan agar mereka (pemain) sempat untuk kembali cergas dan bersedia secukupnya bagi mengharungi saingan separuh akhir yang pastinya akan lebih mencabar,” katanya.