Khairy gesa semua bersama mencegah diskriminasi penyakit kusta

Iklan
Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia terutama komuniti berisiko perlu bersama-sama mencegah diskriminasi terhadap pesakit kusta dan ahli keluarga mereka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penyakit tersebut bukanlah satu penyakit keturunan atau satu sumpahan, tetapi ia adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh sembuh melalui pemberian rawatan Multidrug Therapy.

Iklan
Iklan

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berusaha untuk mengenal pasti tahap keseriusan dan faktor diskriminasi melalui kajian sistematik dan pemantauan yang berkesan.

"Anggota kesihatan perlu menyalurkan maklumat yang benar dan tepat kepada orang awam mengenai penyakit kusta. Pastikan kita memberi rawatan yang sempurna kepada setiap pesakit yang ada.

Iklan

"Berikanlah mereka hak untuk menerima perkhidmatan kesihatan yang mesra pelanggan dan mudah capai,” katanya dalam satu perutusan sempena Sambutan Hari Kusta Sedunia pada Ahad.

Sambutan Hari Kusta Sedunia 2022 disambut pada 30 Januari dengan bertemakan Penyakit Kusta: Bersama Mencegah Diskriminasi.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha bagi mencegah diskriminasi terhadap pesakit kusta perlu ditingkatkan.

Menurutnya, setiap pesakit perlu bebas dari cemuhan atau pengusiran akibat daripada penyakit atau kecacatan fizikal yang terzahir.

"Jika mereka mengasingkan diri, sama-sama kita mendekati mereka dengan kata-kata semangat, dorongan dan bantuan. Berilah mereka kehormatan diri, kebebasan pergaulan dan peluang untuk menikmati kehidupan yang sejahtera, sama seperti yang lain,” ujarnya.

Tambah Khairy, penyakit kusta adalah penyakit kuno yang direkod seawal 1500 tahun sebelum Masihi.

Katanya, penyakit kusta tidak mudah dijangkiti tetapi jika dijangkiti dan lewat dikesan serta tidak diberi rawatan, ia boleh menyebabkan kecacatan kekal kepada pesakit.

"Untuk rekod, kadar kecacatan kekal yang dilaporkan dalam kalangan pesakit kusta adalah pada sekitar 0.02 – 0.05 kes bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu bersamaan empat peratus hingga lapan peratus dari keseluruhan kes kusta baru yang dilaporkan setiap tahun.

"Kecacatan kekal ini mengundang kepada banyak masalah sosial ke atas pesakit dan keluarganya. Ia juga menjejaskan kualiti hidup dengan menjadikan pesakit tidak berupaya untuk menguruskan diri sendiri lantas bergantung harap di atas belas ihsan dan bantuan ahli keluarga dan jiran tetangga,” jelas beliau.