KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM450,000 kepada 4,500 wanita Kelantan yang bekerjaya menerusi Bantuan Cakna Hawa 2021.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, penerima ialah wanita bekerja, anak kelahiran dan menetap di Kelantan serta berusia antara 18 tahun sehingga 60 tahun.
Beliau memberitahu, kriteria lain ialah berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, mempunyai 3 orang anak atau lebih tanggungan dan tidak pernah menerima bantuan daripada kerajaan negeri.
"Bantuan kepada wanita bukan ibu tunggal atau surirumah ini bertujuan meraikan golongan itu dalam membina pengukuhan akidah,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Cakna Hawa 2021 di Kompleks Kota Darulnaim pada Ahad.
Seramai 50 wanita menerima bantuan wang tunai RM100 dan kit ujian kendiri Covid-19 pada majlis itu.
Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama), Datin Siti Zabedah Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, permohonan bantuan dibuka bermula Ogos tahun lalu namun majlis penyerahan ditunda tahun ini disebabkan pandemik Covid-19.
"Kita mahu pengukuhan akidah sama ada wanita bekerja atau sebaliknya mengikut ketetapan ALLAH iaitu menjaga syariat, menjadi pemangkin kepada keluarga dan pemerkasaan potensi dalam masyarakat.
"Hasrat kerajaan untuk golongan ini menjadi solehah seperti Saidatina Aisyah RA, Zainab RA, Fatimah RA dan ummul mukminin yang lain melalui pembinaan Gagasan Wanita Solehah Kelantan,” katanya.